Selasa, 22 November 2011

BAB 15 : Oh Pintu!

Baju hijau muda bercolar, berlengan pendek, menjadi pilihan hati. Seluar panjang denim hitam dikenakan untuk melengkapkan gaya ringkas lagi bersahaja. Pakaian casual yang dikenakannya malam itu nampak bergaya. Dia lebih suka untuk mengenakan sesuatu yang ringkas kerana fesyen seperti itu membuat dirinya berasa selesa dan lebih yakin dengan diri sendiri. Lebih-lebih lagi ketika menghadiri makan malam informal yang dijemput oleh rakan ayahnya itu. Dia tidak kenal sangat akan lelaki yang disebut ayahnya. Yang dia tahu, Haji Yusof ialah rakan ayahnya sewaktu mereka bersama-sama naik haji pada tahun 80-an dahulu. Ilham pada waktu itu masih kecil lagi. Ditinggalkan di bawah jagaan neneknya sewaktu kedua ibubapanya menunaikan fardhu haji di Mekah.

Ilham masih teringat lagi ketika pertama kali berjumpa dengan lelaki yang berumur lebih kurang setengah abad itu. Waktu itu, Ilham menemani ayahnya untuk menguruskan hal ehwal perniagaan mereka di salah sebuah anak syarikat mereka di Gadong. Mereka berdua sedang menuju ke kereta apabila seorang lelaki menegur ayahnya dari belakang.
“Assalamualaikum,” lelaki itu memberi salam.
“Waalaikumussalam,” jawab ayah Ilham, Haji Imran.
“Imran, masih ingat saya?” tanya lelaki itu. Haji Imran pada mulanya tidak pasti. Namun setelah diamatinya wajah lelaki itu, dia terus berjabat tangan dan memeluk tubuh lelaki tersebut. Wajah lelaki itu nampak bersinar-sinar apabila Haji Imran dapat mengecam dirinya.
“Ya Allah, Yusof kan? Apa khabar? Sudah lama kita tidak berjumpa. Wah, kau nampak sihatlah Sof!” Haji Imran amat gembira kerana dapat berjumpa dengan rakan karibnya sewaktu sekolah dahulu. Ilham hanya memerhatikan ayahnya berbual dengan rakan lama. Tidak mahu mencelah. Perbualan mereka sekejap sahaja kerana sibuk dengan urusan masing-masing. Di dalam kereta, ayahnya bercerita mengenai rakan karibnya yang sudah lebih sepuluh tahun tidak berjumpa setelah keluarga Ilham berpindah ke Malaysia sebaik sahaja mereka pulang dari menunaikan fardhu haji. Waktu itu, Ilham hanya mendengar celoteh ayahnya sambil memandu. Fikirannya tidak begitu tertumpu pada kisah ayahnya. Baginya, pertemuan itu tidak penting.

Dilihat wajahnya di cermin. Rambut disikat dan digayakan ringkas dengan gel penggaya rambut. Nampak tampan jejaka di dalam cermin itu. Nampak dewasa. Dengan raut wajah yang maskulin dan senyuman yang boleh menawan hati mana-mana gadis serta sepasang mata redup berwarna perang tua boleh membuat gadis mudah jatuh hati. Namun, Ilham tidak pernah bangga dengan paras rupanya. Dia bersyukur kerana Tuhan menciptakan dirinya begitu. Dia tidak mahu menggunakan paras rupanya sebagai tambatan untuk mendapatkan seorang pasangan di dalam hidupnya. Biarlah permaisuri hatinya menerima dirinya seadanya. Tiba-tiba dia teringat akan bekas kekasih hatinya. Entah dia pun tidak tahu di manakah silapnya hingga wanita itu sanggup menduakan dirinya. Ilham sanggup berhabisan wang ringgit demi memenuhi permintaan Mia yang amat gemarkan shopping itu. Pantang melihat barang berjenama, Ilham juga yang jadi mangsa. Namun bagi Ilham, wang ringgit bukan pengukur cinta. Dia tidak kisahkan itu semua. Yang penting, cinta ada di antara mereka. Cuma, cinta Mia cinta palsu. Cinta berdasarkan wang ringgit dan paras rupa. Ilham begitu kecewa dengan wanita itu. Hati Ilham mengeluh. Kesal. Dia menarik nafas perlahan-lahan.

***

Alia baru sahaja selesai membantu Umi menyediakan makan malam untuk tetamu ayahnya. Dia tertanya-tanya gerangan tetamu ayahnya pada malam itu. Kata ayahnya, kawan lama. Sudah lama tidak berjumpa dan ayahnya berhasrat untuk menjemput mereka sekeluarga makan malam di rumah. Jam sudah menunjukkan pukul 7:30 malam. Bila-bila masa sahaja tetamu ayahnya akan datang. Rumah dua tingkat mereka itu begitu sunyi kerana hanya dihuni oleh keluarga Alia dan dua orang pembantu rumah. Ia jarang dikunjungi tetamu kecuali pada Hari Raya dan majlis kecil-kecilan seperti sambutan hari jadi atau perkumpulan keluarga.

Ketika Alia ingin melangkahkan kaki untuk naik ke bilik, dia terdengar bunyi kereta masuk ke halaman rumah. Kedengaran ayah dan ibunya membuka pintu utama, mempersilakan tetamu yang hadir masuk. Alia yang tertanya-tanya akan tetamu ayahnya itu berniat untuk menghendap di balik pintu yang memisahkan ruang tamu utama dan ruang hallway menuju ke dapur. Dia sudah berada di hadapan pintu itu apabila tiba-tiba ia dibuka cepat dari dalam.
“Aduh!” Alia menjerit kecil apabila hujung kaki pintu mengenai ibu jari kakinya. Dia terlompat ke belakang dan terduduk di lantai. Alia terus mengurut jari kakinya itu dan melihat ke arah pintu.
“Eh?! Maaf!” kedengaran suara seorang lelaki di sebelah pintu. Alia terasa seperti bodoh pada waktu itu. Dia terkejut apabila melihat seorang lelaki muda masuk dan meluru ke arahnya. Lelaki itu terkejut mendengar suara Alia menjerit kecil tadi.
“Awak tak apa-apa ke?” tanya lelaki itu. Alia semakin terkejut melihat wajah lelaki itu.
“Macamana awak boleh di sini?!” Suara Alia tiba-tiba meninggi. Dia masih ingat wajah lelaki itu. Lelaki yang melanggarnya tempoh hari. Yang menumpahkan minuman ke bajunya. Yang membuat dia marah kerana baju kesayangannya rosak dan tidak dapat dipakai lagi. Blouse putih yang sudah bertompok warna kopi.
“Eh? Awak kenapa ni?” tanya Ilham. Dia turut terkejut melihat Alia. 'Ni kan perempuan yang marahkan aku hari tu', bisik hati Ilham. Ilham hanya melihat Alia duduk di lantai sambil menggosok-gosok ibu jari kakinya.
“Awak ni! Sakit tau jari kaki saya! Awak buat apa masuk sini? Siapa suruh awak ke sini?” marah Alia.
“Dah orang rumah jemput, nak buat macamana,” sahut Ilham bersahaja. Dia menahan tawa melihat wajah Alia yang marah sambil menahan kesakitan. Alia membesarkan matanya dan merenung anak mata Ilham. 'Orang tengah marah, dia boleh main-main lagi,' rungut hati Alia.
“Al, kenapa ni?” tiba-tiba Umi pula masuk. Dia terdengar suara Alia dari ruang tamu. Hairan. Dengan siapa anak gadisnya itu bertengkar.
“Ni ha, Umi. Siapa suruh dia ke sini? Buat apa dia di sini?” rungut Alia. Sakit hatinya melihat Ilham yang tercegat di situ. Tersengih sendiri. Alia sudah berdiri, berhadapan Ilham.
“Ah, Ilham. Tandas di sebelah sana,” Umi tersenyum kepada Ilham sambil menunjuk ke arah pintu tandas.
“Terima kasih auntie. Ilham dah tak tahan ni!” seloroh Ilham dan terus menuju ke tandas. Dia hampir saja terlupa akan niatnya untuk ke tandas apabila pintu yang dibukanya terlanggar kaki Alia. Ketika di dalam perjalanan lagi dia sudah terasa ingin membuang air kecil. Cuaca malam itu sejuk dengan hujan yang renyai-renyai. Tambahan lagi aircond kereta ayahnya yang sejuk. Terpaksalah menahan rasa malu apabila dia meminta izin pada isteri rakan ayahnya untuk pergi ke tandas sebaik sahaja mereka sampai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan