Rabu, 30 November 2011

BAB 16 : Awak setuju?

Hidangan yang tersedia di atas meja makan itu memang cukup menyelerakan. Pelbagai jenis lauk-pauk terhidang untuk dijadikan santapan. Dan apabila juadah itu mendarat ke dalam mulut, keenakkannya memang tidak terkata, semuanya cukup rasa! Cuma yang terlebih rasa adalah wajah yang dari tadi hanya menghadiahkannya jelingan maut, masam mencuka!

Sikap bersahaja dengan riak wajah 'tidak makan saman' dari Ilham semakin memanaskan hati Alia. Berfikir kenapalah malang sangat nasibnya pada malam itu. Sudahlah jari kakinya masih terasa sakit dan kelihatan semakin membengkak, semuanya gara-gara lelaki yang begitu asyik menikmati hidangan makan malam di hadapannya. Di tambah lagi dia kini terpaksa makan semeja, duduk berdepanan dengan Ilham. Ergh!! Geramnya!

"Oh, jadinya Ilham lah yang sekarang ambil alih sepenuhnya Syarikat SuteraPutih Corporation. Tahniah Ilham! Tak ramai anak muda yang berkredibiliti dan berani macam Ilham sekarang ni. Alia perlu belajar banyak dari Ilham tau, manalah tau esok lusa ayah pun nak serahkan syarikat ayah tu sepenuhnya pada Alia" perhatian Alia kini tertumpu pada ayahnya Haji Yusof kerana menyedari namanya telah disebut, tidak begitu pasti apa butir perbualan yang sedang dibincangkan. Dari tadi mindanya memang tidak berada di situ. Nasi di pinggan juga hanya dikacau dengan sudu, perut yang tadi lapar sudah tidak mahu disumbatkan makanan. Selera sudah mati.

"Ilham pun banyak benda lagi perlu dipelajari uncle , kira besar jugak amanah yang Ilham nak kena pikul. Ilham ni bukan macam ayah yang dah banyak pengalaman dalam bidang ni" balas Ilham merendah diri, bimbang andai harapan begitu tinggi akan diletakkan pada dirinya yang masih baru dalam bidang tersebut.

"Kita ni asal jumpa mesti nak cerita pasal kerja, kita ubah topik lain lah pulak. Bila pula eksekutif muda kita ni nak menamatkan zaman bujangnya?" hampir tersedak Ilham mendengarkan soalan cepumas dari Haji Yusof itu. Haji Imran dan isterinya hanya tersenyum melihat reaksi Ilham.

"Sekarang ni susah nak cari seseorang yang jujur nakkan kita uncle , ramai yang cuma baik di depan. Kat belakang, Allah saja yang tahu" balas Ilham, ada nada penuh kehampaan yang cuma dirinya yang faham. Kembali meneruskan suapan. Alia dalam diam turut bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh Ilham tapi malas hendak menyampuk. Bilik makan yang sejuk dengan alat penghawa dingin itu langsung tidak memberi kesan, kepanasan jelas terasa. Panas hati!

"Betul tu Ilham, zaman sekarang ni banyak yang asal boleh je, banyak yang plastik. Kalau ikutkan hati, elok kita ikut je adat lama. Biar ibu bapa yang carikan jodoh. Dengan orang yang kita tahu latar belakang keluarganya" ujar Haji Yusop, cuma sekadar bergurau. Tapi matanya kini melirik pada Alia yang sudah mengerutkan dahi. Tidak mengerti dengan senyuman ayahnya, dituruti dengan senyuman dari uminya, Haji Imran serta isterinya.

"Ilham setuju sangat dengan pendapat uncle!" balas Ilham dengan begitu bersemangat sambil menunjukkan ibu jarinya tanda sangat bersetuju dengan pendapat Haji Yusof yang bernas. Gurauan pasti akan dibalas dengan gurauan, Haji Yusof dan yang lain hanya tertawa.

"Awak setuju?" Alia tersentak apabila soalan itu ditujukan padanya oleh Ilham. Ilham hanya tersengih memandangnya. Ketawa yang lain semakin bergema. Setuju apa?!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan