Isnin, 14 November 2011

BAB 14 : ...Sebuah Harapan...

"Ilham, kamu dengar tak apa yang ayah cakap ni? Projek dengan Dato' Farok tu dah settle ke belum?" sergah Haji Imran, ayah kepada Ilham. Fail-fail yang berisi proposal kini kembali diteliti. Ilham tidak mahu ayahnya dapat mencium sesuatu yang tidak kena pada dirinya.

"Dengar ayah, Ilham dah uruskan. Kita cuma tunggu persetujuan dari Dato' Farok saja lagi" balas Ilham tersenyum hambar. Cuba mengembalikan semula rohnya yang seolah-olah sudah meninggalkan jasad sebentar tadi. Dasar perempuan! . Kutuk Ilham dalam hati. Memang perit dirasakan kejadian yang selama ini hanya pernah didengar daripada orang sekeliling, ditonton di kaca televisyen, tentang kecurangan seorang kekasih tapi kini tanpa diduga, dirinya sendiri yang menjadi mangsa.

"Baguslah tu, ayah bukan apa. Ayah cuma harapkan kamu dapat jalankan syarikat ni dengan baik. Cuma kamu saja harapan ayah" ujar Haji Imran sayu. Itulah sememangnya yang menjadi harapan agar Ilham mampu menyambung perjuangannya selama ini. Kini dia sudah bersara sepenuhnya daripada menguruskan syarikat yang selama ini sudah dibina dengan usaha gigihnya sendiri.

"Insya Allah ayah, Ilham akan cuba lakukan yang terbaik untuk syarikat ni. Ayah jangan risau" balas Ilham kembali menumpukan sepenuh perhatiannya pada Haji Imran yang kini duduk di hadapan meja kerjanya. Begitu tersentuh dengan ucapan ayahnya.

"Ayah percaya kamu boleh buat" Haji Imran memberikan sokongan dan semangat sepenuhnya buat Ilham

"Terima kasih ayah" jawab Ilham tersenyum. Bersyukur kerana merasa dirinya begitu dihargai dan diberi kepercayaan untuk menguruskan syarikat itu dengan terbaik.

"Ah Ilham, sebelum ayah lupa. Malam ni kamu jangan balik lewat. Kawan ayah jemput kita makan malam di rumahnya. Kamu masih ingat dia kan. Kamu pandu, ayah dan mama tumpang. Tak elok pulak kalau kamu takde nanti" Haji Imran kembali bersuara. Jelas tergambar riak kegembiraan di wajahnya. Ilham tidak pasti senyuman itu untuk apa.

"Baiklah ayah" jawab Ilham bersahaja.

"Ayah balik dulu" ujar Haji Imran sebelum mengundurkan diri meninggalkan ruang pejabat Ilham.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan