Jumaat, 4 November 2011

BAB 8 : Tapi Siapa.......

“Mata letak kat mana? Kat tapak kasut ke?!” tengking Alia pada lelaki di hadapannya yang sudah kelihatan kehabisan darah di wajah. Tangan lelaki itu masih memegang bekas kopi yang sudah kosong, semuanya menjadi hidangan untuk blouse putih milik Alia. Baju itu adalah salah satu baju kesayangan Alia kerana ianya dihadiahkan oleh ayahnya pada hari jadinya tahun lepas. Kemarahan sudah berada di puncak, tidak mampu ditahan.

“Maaf cik, saya tak sengaja” ujar lelaki tersebut dengan teragak-agak, memohon kemaafan atas kesilapannya.

“Awak ingat maaf awak tu boleh bersihkan balik baju saya ni ke?!” sambung Alia masih belum mahu berkompromi. Tidak semudah itu baginya untuk membiarkan kejadian itu berlaku. Sudahlah dia mengejar waktu, kini ditambah pula dengan masalah yang tidak diduga yang melambatkan perjalanan ke destinasinya. Kusut!

“Awak nak saya bersihkan baju awak ke?” tanya lelaki itu dengan selamba dan begitu lurus. Kata-katanya itu membuatkan kedutan di dahi Alia semakin bertambah bilangannya, nafas juga ditarik dalam keadaan yang tidak terkawal.

“Awak ingat saya tengah buat lawak ke?” balas Alia hampir terjerit, sudah tidak peduli atas pandangan orang sekeliling yang mungkin menyaksikan perbalahan tersebut. Semakin rimas dan sakit hati dengan perangai lelaki itu yang cukup menduga kesabarannya.

“Tak” jawab lelaki itu pendek. Teman yang di sebelah masih tidak berganjak dari posisi asalnya. Mati akal.

“Lain kali jalan tu guna mata!” tanpa menanti walau sedetik, Alia kembali ‘mengajar’ lelaki tersebut. Maaf lelaki itu langsung tidak memberi kesan di sanubarinya. Walaupun menyedari semua itu bukanlah disengajakan dan hanya satu kemalangan, tetapi entah kenapa saat itu akalnya sudah tidak mampu berfikir waras. Semua masalah bagai bertimpa-timpa membuatkan dirinya sudah hilang sikit pertimbangan.

“Bukan guna kaki ke?” lelaki itu pula kembali bertanya, bersahaja. Ilham, Memang kau nak tempah maut! Bisik hati teman yang masih setia menanti berdiri di sebelah lelaki yang masih menjadi mangsa.

“Makin lama saya cakap dengan awak ni saya rasa saya boleh jadi gila!” mendengar jawapan lelaki itu membuatkan kepala Alia terasa semakin panas dan dada sudah terasa mahu pecah. Tanpa berlengah, meninggalkan lelaki itu dengan perasaan geram, sakit hati, marah. Semakin lama dia bertahan di situ, bimbang andai akan berlaku sesuatu yang lebih dahsyat, kesabarannya sudah di tahap sifar. Langkahnya dituruti oleh sorotan mata Ilham. Sejak tadi mindanya bukan tertumpu pada amarah Alia. Ada persoalan yang bermain di benaknya. Memandang wajah Alia membuatkan dia teringat pada seseorang. Tapi siapa?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan