Selasa, 13 Disember 2011

BAB 19 : Golak hati Ilham

'Ilham! Ilham! Jangan melulu membuat andaian. Seperti kata Alya, pasti bibik itu yang salah dengar. Mungkin bukan Nazrul yang berada di hujung gagang," bergolak hati lelaki itu berbicara sendirian sedangkan sebentar tadi dia sama-sama menyatu dalam perbualan orang tuanya dan juga orang tua Alya.

Dari perbualan itu, Ilham baru mengetahui bahawa Nazrul pernah bertakhta di hati Alya namun akhirnya perhubungan mereka kecundang di ambang kecurangan Nazrul.

Dan dari perbualan itu juga, dia difahamkan sejak kejadian itu, Alya sentiasa menyendiri. Wataknya yang dahulunya ceria berubah menjadi pendiam dan serius.

Berbulan lamanya Haji Yusof dan isteri mencuba untuk memulihkan Alya sehingga akhirnya mereka sekeluarga bertindak mengerjakan Umrah dan bertitik tolak dari saat itu, Alya kembali seperti biasa.

"Huh, Umrah?" lantang suara Ilham memecah rentak bualan umi Alya.

Empat pasang mata yang tadinya bertentangan antara satu sama yang lain kini terfokus tajam memandang Ilham.

BAB 18 : Mungkin.......

Belum sempat Haji Yusof menyambung kata, pembantu rumah mereka kini muncul di ruang tamu mencari kelibat Alia.

"Maaf neng, ada panggilan telfon buat neng" Yanti, pembantu rumah memaklumkan pada Alia tentang panggilan telefon yang baru saja diterimanya sebentar tadi. Perbualan mereka yang berada di ruang tamu itu turut tergendala buat seketika. Perhatian kini ditumpukan pada Alia yang mula mengerutkan dahi. Siapa pula yang telefon aku malam-malam macam ni. Desis hati Alia.

"Dari siapa?" soal Alia, masih dalam keadaan duduknya yang kelihatan begitu selesa. Belum bercadang mahu berganjak berdiri dari sofa yang begitu empuk. Tanpa disedari, ada sepasang mata sedang mencuri raut wajahnya.

"Nggak dikasi tau namanya neng, tapi dari suaranya kayaknya mirip suara bapak Nazrul deyh. Apa mau dimatiin aja panggilannya neng?" jelas Yanti membuat andaian. Menarik perhatian semua mereka yang berada di ruang tamu tersebut. Lebih-lebih lagi Ilham yang mula memikirkan pelbagai macam kemungkinan. Siapa Nazrul? boyfriend dia ke? tunang mungkin? Ilham tiba-tiba jadi gelisah tidak menentu tapi masih cuba berlagak tenang.

"Nggak usah, kamu pasti salah dengar suaranya" balas Alia menyangkal andaian pembantu rumahnya. Mustahil lelaki tu yang telefon

"Ehm, Al mintak diri sekejap" sambil menghulurkan senyuman, Alia meminta izin pada mereka untuk mengundurkan diri buat seketika.

Selasa, 6 Disember 2011

BAB 17 : Wajah Itu...

Ilham hanya memerhatikan reaksi dari Alia. Entah mengapa hatinya begitu terhibur tatkala melihat Alia berwajah muncung. Ingin saja lagi rasa hatinya mengusik gadis yang mudah melenting itu. Terbayang lagi di mindanya saat mereka terjumpa di Coffee Bean tempoh hari. Memang Alia garang pada waktu itu. Marah-marah. Namun Ilham bagaikan dapat menangkap isi hati Alia apabila merenung anak mata gadis yang berwarna coklat tua itu. Entah mengapa Ilham bagaikan tertarik untuk mengenali gadis itu dengan lebih dalam lagi. Dia tidak pernah tertarik dengan mana-mana perempuan dengan begitu cepat tetapi kali ini hatinya bagaikan meronta-ronta.

Tanpa disedari, Ilham memerhatikan Alia menyuapkan makanan ke dalam mulut comelnya itu perlahan-lahan. Soalannya tadi membuatkan Alia tunduk diam tanpa sebarang suara. Gadis itu bagaikan malas melayan kerenah Ilham yang tiba-tiba saja menjengkelkan baginya. Ilham memerhatikan lagi wajah perempuan di hadapannya. Hatinya terasa sejuk dan tenang. Ilham sendiri tidak pasti sebab dia berperasaan begitu.

"Ish, apa yang awak tengok-tengok tu?" Alia menegur Ilham separuh berbisik dengan harapan orang tua mereka tidak menyedari akan hal itu. Dia berasa rimas dengan renungan lelaki yang berada di hadapannya. Ilham yang terkejut melihat mata garang Alia lantas tersengih. Terasa malu bila ditegur begitu. 'Hah, itulah kau. Suka hati je tengok dia. Kan sekarang dia dah marah,' bisik hati Ilham.

Makan malam diteruskan tanpa sebarang suara dari Alia mahu pun Ilham. Hanya perbualan rancak dari orang tua mereka yang sesekali di selang selikan dengan tawa. Mereka berdua hanya fokus kepada menghabiskan makanan masing-masing. Selesai saja para tetamu habis makan, Alia membantu Uminya untuk mengemaskan meja makan manakala Ilham dan kedua orang tuanya di persilakan untuk ke ruang tamu bagi menikmati pencuci mulut.

"Al, lepas ni kita ke bilik tamu ya? Temankan ibu si Ilham. Biarlah Bibik yang cuci pinggan ni," Umi memberitahu Alia sebaik sahaja mereka berada di dapur. Umi memanggil pembantu rumah mereka lalu membawa Alia ke ruang tamu. Alia hanya patuh pada arahan Umi tanpa memikirkan sangat hal yang terjadi di antara dia dan Ilham awal tadi.

Di ruang tamu, Alia hanya duduk diam sambil mendengar perbualan orang tua mereka. Sesekali Ilham turut menyampuk dengan perbualan mengenai perniagaan yang diwarisinya. Alia yang kebosanan mencuri pandang wajah Ilham. Lelaki itu duduk di hadapannya kini. Diperhatikannya dalam diam wajah lelaki muda itu. Matanya, hidungnya, senyumannya, giginya, suaranya. 'Hm, kacak jugak dia ni,' bisik hati nakal Alia. Dia terus memerhatikan Ilham yang kini sedang rancak bercerita bersama ayahnya. Ilham tersenyum. Tiba-tiba hati Alia bergetar. Dia teringat pula kisah sewaktu dia mengerjakan ibadat umrah di Mekah bersama rakan-rakan universitinya pada tahun lepas. 'Eh? Aku macam pernah jumpa dia sebelum ni? Tak mungkin... Tak mungkin dia..' bisik hatinya.

"Kan Alia?" suara ayahnya menyedarkan Alia dari lamunan.
"Apa ayah?" Alia cuba menyembunyikan tingkah lakunya yang tidak tentu arah. Semua mata tertumpu padanya ketika ini.