Khamis, 10 November 2011

BAB 12 : Umpama dihidupkan semula

Malam itu Alia merasakan dirinya bagaikan dihidupkan kembali. Pertemuan yang tidak di sangka dengan bekas tunangnya itu mengubah sekali gus pandangan hidupnya kini. Tiba-tiba saja dia merasa hati dan jiwanya semakin kuat. Kuat berhadapan dengan realiti. Teguh berdepanan dengan pedang kehidupan yang sentiasa mencalar-calar hatinya. Dia tahu, kini Nazrul sudah bahagia. Tiada lagi kisah di antara mereka berdua. Tiada lagi coretan cinta. Tiada lagi semua itu. Alia tersenyum sendirian sambil menyeka air matanya yang jatuh perlahan di pipinya. Senyum terluka. Air mata kedamaian. Hatinya benar-benar tenang malam itu. Benar-benar terasa umpama ditiupkan semangat baru.

Sebaik sahaja pulang dari makan malam bersama ibunya, Alia terus pergi ke bilik, merehatkan diri, menenangkan fikiran. Senghaja tidak diberitahu kepada ibunya tentang pertemuan itu. ‘Aku harap itulah pertemuan terakhir,’ bisik hati Alia. Terbayang lagi kemesraan di antara Nazrul dan isterinya. Teringat lagi wajah perempuan yang telah merampas Nazrul dari hidupnya. Kalau diikutkan hati, memang ingin dibunuhnya saja perempuan itu.

Dia hairan. Dulu Nazrul selalu mengajarnya agar sentiasa menjaga batas dan tatasusila sebagai seorang perempuan. Jaga perwatakan. Jaga aurat. Jaga itu. Jaga ini. Alia faham itu demi kebaikannya. Tetapi, Nazrul melayannya bagai budak kecil. Hinggakan kadang-kadang Alia merasa lemas. Memang Nazrul selalu menegur setiap tindakan Alia yang salah di matanya. Nazrul tidak peduli sama ada Alia berasa senang hati atau tidak, yang penting, Alia mengikut cakapnya. Ada masanya Alia sampai menangis dek sifat mengongkong Nazrul yang begitu menyesakkan. Memang Nazrul selalu mementingkan kemahuannya daripada kemahuan Alia. Namun, setelah melihat isteri Nazrul, Alia terkejut. Dia tersedar. Nazrul hipokrit. Perempuan itu langsung tidak menutup aurat. Tidak menjaga tatasusila. Solek di wajah umpama patung. Baju sendat yang dikenakannya begitu menjolok mata. Apa lagi dengan potongan leher yang begitu luas. Boleh menaikkan nafsu mana-mana lelaki yang melihatnya.

Alia sedar sekarang. Nazrul mencintainya bukan kerana hati. Tetapi kerana nafsu. Pada waktu itu, Nazrul amat terdesak untuk memiliki seorang wanita di dalam hidupnya. Masing-masing kawannya telah mempunyai teman istimewa sehinggakan Nazrul berasa resah gelisah setiap kali dia ditanya mengenai teman wanita. Jiwa muda. Darah panas. Hati tidak suka jika sentiasa dicabar. Akhirnya, dia ditemukan dengan Alia melalui salah seorang rakannya yang juga merupakan senior Alia ketika berada di universiti. Sebaik saja dia bertemu dengan Alia, hatinya mula terpana melihat wajah lembut Alia dan terus menjalinkan hubungan bersamanya setelah seminggu berkenalan. Alia pun menerima dirinya kerana di matanya, Nazrul baik. Penyayang.

Di awal perkenalan, hinggalah tahun kedua, hubungan mereka bagaikan Romi dan Juli. Sinta dan Ranga. Dara dan Teruna. Nazrul yang tidak ingin Alia di ambil oleh orang lalu mengajak Alia untuk bertunang setelah hampir tiga tahun mereka berkawan. Keluarga dari kedua belah pihak pun tidak menghalang asalkan mereka berdua akan berkahwin selepas mendapat pekerjaan tetap. Namun, impian hanya tinggal impian. Angan-angan hancur begitu saja. Bagaikan istana pasir di hempas ombak pantai. Runtuh. Musnah. Berkecai.

Malam itu Alia mendalami sendiri isi hatinya. Dia merasa dirinya begitu naïf. Begitu bodoh untuk menilai cint dan mengukur sayang. Tambahan lagi dari seorang lelaki seperti Nazrul. Baik di luar, busuk di dalam. Alia sudah faham dengan sikap Nazrul yang angkuh dan membangga diri. Sering kali mencerca dan menghina orang lain. Tidak hormat. Alia mula sedar diri sebenar Nazrul setelah mereka sebulan bertunang. Dia sendiri pun tidak tahu bagaimana dia boleh tahan dengan sikap Nazrul selama hampir empat tahun mereka bersama. Kedua orang tua Alia tahu Nazrul orang baik. Tapi, hanya Alia tahu siapa Nazrul yang sebenarnya. Pernah Alia menegur sikap Nazrul itu tetapi Nazrul tetap Nazrul.

Setelah putus tunang, hidupnya terasa bagaikan bebas. Tiada kengkangan. Tiada berair mata. Tiada seksa. Bagaikan bunga yang baru berkembang, Alia sedar, hidupnya semakin berseri. semakin ceria. Hatinya tenang. Mindanya lapang. Tiada lagi yang perlu difikirkan selain daripada keluarga dan pekerjaannya. Dia bersyukur kerana perpisahan itu telah membuka mata dan mindanya. Alia berazam untuk meneruskan hidupnya. Dia tidak lagi memikirkan soal jodoh. Diserahkannya soal itu pada Tuhan. Baginya, tiada lelaki yang boleh dipercayai lagi di dunia ini. Satu-satunya lelaki yang di sayanginya hanyalah ayahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan