Rabu, 2 November 2011

BAB 5 : Ku Sangka Kau Adalah Untukku

Pagi yang ceria bertukar menjadi mendung, mendung dengan tangisan Alia yang memenuhi ruang bilik tidurnya. Berita yang baru dikhabarkan itu sukar untuk dipercaya oleh akal sihatnya. Tak mungkin!

Nafas terasa sesak, lemas, berat untuk dihela. Mata terasa perit, pandangan semakin kabur. Walau cuba dibendung, air jernih itu tetap berdegil, mengalir membanjiri wajahnya yang mulus.

“Alia, sudahlah tu. Bawa istighfar banyak-banyak. Benda dah nak jadi. Nazrul tu memang tak layak untuk kamu. Insya Allah mak yakin akan ada seseorang yang lebih baik untuk Alia” Zainab, ibu Alia cuba memberi ketenangan buat satu-satunya anak tunggalnya. Sebagai seorang ibu, dia juga agak terkilan dan tersentak saat mendengar berita yang dikhabarkan oleh bakal besannya bahawa Nazrul, tunang kepada Alia terpaksa dinikahkan pada petang itu. Pada malam sebelumnya, Nazrul didapati bersekedudukan dengan seorang perempuan di rumah bujang milik Nazrul.

“Sampai hati dia buat Alia macam ni Umi” ujar Alia dengan nafas yang tersekat-sekat. Riba Zainab sudah basah dengan air mata Alia yang kini membenamkan wajahnya di atas pangkuan Zainab.

“Alia Maisara, dengar sini. Semua yang terjadi ni pasti ada hikmahnya. Alia kena kuat untuk terima takdir Allah ni. Umi tak nak tengok Alia patah semangat hanya kerana lelaki yang tak tahu nak menghargai anak mak ni” Zainab kini sudah mengangkat wajah Alia untuk memandang wajahnya. Begitu simpati melihat wajah Alia yang sudah lusuh, basah dengan deraian air mata. Tergamak kau buat anak aku macam ni Nazrul. Hati Zainab merintih mengenangkan nasib Alia yang pastinya sudah merancang serba sedikit persiapan untuk majlis persandingannya yang bakal diadakan pada awal tahun depan. Namun semuanya itu sudah hancur, tiada guna untuk disesali.

Alia kemudian memeluk ibunya dengan erat untuk mencari kekuatan. Melepaskan baki tangisannya di bahu Zainab yang kini juga sudah tidak mampu menahan sebak di dada. Tangisan mereka kini menyatu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan