Isnin, 31 Oktober 2011

BAB 2 : Hidup Perlu Diteruskan!

BAB 2
Jari manis itu masih ditenung dan diramas dengan perlahan. Bilik masih sengaja dibiarkan gelap. Andai saja dia mampu menyembunyikan mentari, biarlah malam sentiasa menemani saatnya,minitnya,jamnya dan juga hari-hari yang bakal dilaluinya. Rembulan takkan selamanya menemani malam, hujan takkan selamanya membasahi bumi, mentari pasti takkan selamanya menyegarkan alam ini.

Namun fikiran warasnya masih tetap mahu merasa akan munculnya keindahan pelangi di saat gerimis pergi. Menikmati keindahan malam selagi sang rembulan masih sudi menjadi peneman malam sepi. Menanti kemunculan sang suria saat subuh menjenguk pagi.

Sampai bila aku harus begini. Hidup perlu diteruskan. Dia tidak layak untuk aku tangisi! Tiba-tiba seperti mendapat semangat baru. Kain langsir yang menghalang cahaya matahari dari menerangi paginya segera dibuka seluas-luasnya. Jendela dibuka dengan megahnya, nafas ditarik dengan rakusnya. Senyuman lebar mula menghiasi wajahnya.

Fikirannya kini mula tertumpu pada pertemuan yang akan berlaku pada petang itu. Sudah lama rasanya tidak bertemu dengan mereka. Hampir setahun tidak bersua muka, mungkin banyak kisah yang akan dikongsi nanti. Rindu mula mencengkam, baru menyedari betapa dia merindui kedua-dua insan tersebut. Sudah tidak sabar hendak pergi ke Times Square!

Ahad, 30 Oktober 2011

BAB 1 : Sepetang Di Coffee Bean

Sebuah kereta saloon meluncur tenang di sepanjang lebuhraya yang sunyi. Cuaca yang panas terik pada petang itu sedikit sebanyak membuat pemandunya merasa gelisah. Alat penghawa dingin keretanya bagaikan tidak mampu melawan bahang sinar Sang Mentari. Sesekali matanya terasa pedih akibat angin dari alat penghawa dingin yang senghaja dibiarkannya berkelajuan tinggi. Namun dia tetap meneruskan perjalanan dengan cermat dan tidak tergesa-gesa. 'Sunyi juga petang ni. Agaknya orang tak mahu keluar rumah panas-panas begini,' bisik hatinya sambil melihat keadaan jalan raya yang lengang. Petang itu dia berjanji dengan dua orang rakannya untuk minum petang di Coffee Bean, Times Square. Sudah lama mereka bertiga tidak bertemu sejak masing-masing mula sibuk dengan kerja. Rindu rasa hatinya pada gelak tawa dan jenaka di antara mereka.

Keretanya sudah mula memasuki simpang menuju ke Times Square. 'Hairan, di sini pulak ramai orang,' bisik hatinya lagi apabila melihat kereta berbaris panjang menuju ke destinasi yang mula diminati ramai itu. Times Square yang terletak berdekatan dengan pusat bandar itu sentiasa dikerumuni orang ramai apabila ia mula dibuka pada tahun lepas. Pelabagai jenis kedai dan restoran ada di sini. Coffee Bean, Pastamania dan Excapade adalah di antara restoran yang sentiasa dipenuhi pengunjung dan ia merupakan salah satu sebab Times Square merupakan sebuah destinasi untuk bersantai dan meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Setelah lebih kurang sepuluh minit berbaris, dia meletakkan kereta berhadapan dengan pintu masuk bangunan tiga tingkat itu. Dia bernasib baik kerana dapat meletakkan kereta di situ memandangkan kawasan tersebut begitu susah untuk mendapatkan tempat letak kereta. Dia lalu turun dari kereta dan berjalan perlahan menuju ke Coffee Bean yang terletak tidak jauh dari pintu utama bangunan tersebut. Suasana di dalam bangunan pada waktu itu agak ceria dan padat dengan adanya pameran produk antarabangsa di kawasan ruang legar. Kelihatan anak-anak kecil bersama keluarga mereka berjalan-jalan sambil memerhatikan petak-petak jualan. Tidak kurang juga dengan remaja dan orang dewasa yang turut meramaikan pesta pameran tersebut. Hatinya melonjak gembira tatkala melihat dua susuk tubuh yang dikenalinya sedang berdiri di hadapan Coffee Bean. Wajah lembutnya mula mengukir senyuman.