Memaparkan catatan dengan label Umi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Umi. Papar semua catatan

Selasa, 22 November 2011

BAB 15 : Oh Pintu!

Baju hijau muda bercolar, berlengan pendek, menjadi pilihan hati. Seluar panjang denim hitam dikenakan untuk melengkapkan gaya ringkas lagi bersahaja. Pakaian casual yang dikenakannya malam itu nampak bergaya. Dia lebih suka untuk mengenakan sesuatu yang ringkas kerana fesyen seperti itu membuat dirinya berasa selesa dan lebih yakin dengan diri sendiri. Lebih-lebih lagi ketika menghadiri makan malam informal yang dijemput oleh rakan ayahnya itu. Dia tidak kenal sangat akan lelaki yang disebut ayahnya. Yang dia tahu, Haji Yusof ialah rakan ayahnya sewaktu mereka bersama-sama naik haji pada tahun 80-an dahulu. Ilham pada waktu itu masih kecil lagi. Ditinggalkan di bawah jagaan neneknya sewaktu kedua ibubapanya menunaikan fardhu haji di Mekah.

Ilham masih teringat lagi ketika pertama kali berjumpa dengan lelaki yang berumur lebih kurang setengah abad itu. Waktu itu, Ilham menemani ayahnya untuk menguruskan hal ehwal perniagaan mereka di salah sebuah anak syarikat mereka di Gadong. Mereka berdua sedang menuju ke kereta apabila seorang lelaki menegur ayahnya dari belakang.
“Assalamualaikum,” lelaki itu memberi salam.
“Waalaikumussalam,” jawab ayah Ilham, Haji Imran.
“Imran, masih ingat saya?” tanya lelaki itu. Haji Imran pada mulanya tidak pasti. Namun setelah diamatinya wajah lelaki itu, dia terus berjabat tangan dan memeluk tubuh lelaki tersebut. Wajah lelaki itu nampak bersinar-sinar apabila Haji Imran dapat mengecam dirinya.
“Ya Allah, Yusof kan? Apa khabar? Sudah lama kita tidak berjumpa. Wah, kau nampak sihatlah Sof!” Haji Imran amat gembira kerana dapat berjumpa dengan rakan karibnya sewaktu sekolah dahulu. Ilham hanya memerhatikan ayahnya berbual dengan rakan lama. Tidak mahu mencelah. Perbualan mereka sekejap sahaja kerana sibuk dengan urusan masing-masing. Di dalam kereta, ayahnya bercerita mengenai rakan karibnya yang sudah lebih sepuluh tahun tidak berjumpa setelah keluarga Ilham berpindah ke Malaysia sebaik sahaja mereka pulang dari menunaikan fardhu haji. Waktu itu, Ilham hanya mendengar celoteh ayahnya sambil memandu. Fikirannya tidak begitu tertumpu pada kisah ayahnya. Baginya, pertemuan itu tidak penting.

Dilihat wajahnya di cermin. Rambut disikat dan digayakan ringkas dengan gel penggaya rambut. Nampak tampan jejaka di dalam cermin itu. Nampak dewasa. Dengan raut wajah yang maskulin dan senyuman yang boleh menawan hati mana-mana gadis serta sepasang mata redup berwarna perang tua boleh membuat gadis mudah jatuh hati. Namun, Ilham tidak pernah bangga dengan paras rupanya. Dia bersyukur kerana Tuhan menciptakan dirinya begitu. Dia tidak mahu menggunakan paras rupanya sebagai tambatan untuk mendapatkan seorang pasangan di dalam hidupnya. Biarlah permaisuri hatinya menerima dirinya seadanya. Tiba-tiba dia teringat akan bekas kekasih hatinya. Entah dia pun tidak tahu di manakah silapnya hingga wanita itu sanggup menduakan dirinya. Ilham sanggup berhabisan wang ringgit demi memenuhi permintaan Mia yang amat gemarkan shopping itu. Pantang melihat barang berjenama, Ilham juga yang jadi mangsa. Namun bagi Ilham, wang ringgit bukan pengukur cinta. Dia tidak kisahkan itu semua. Yang penting, cinta ada di antara mereka. Cuma, cinta Mia cinta palsu. Cinta berdasarkan wang ringgit dan paras rupa. Ilham begitu kecewa dengan wanita itu. Hati Ilham mengeluh. Kesal. Dia menarik nafas perlahan-lahan.

***

Alia baru sahaja selesai membantu Umi menyediakan makan malam untuk tetamu ayahnya. Dia tertanya-tanya gerangan tetamu ayahnya pada malam itu. Kata ayahnya, kawan lama. Sudah lama tidak berjumpa dan ayahnya berhasrat untuk menjemput mereka sekeluarga makan malam di rumah. Jam sudah menunjukkan pukul 7:30 malam. Bila-bila masa sahaja tetamu ayahnya akan datang. Rumah dua tingkat mereka itu begitu sunyi kerana hanya dihuni oleh keluarga Alia dan dua orang pembantu rumah. Ia jarang dikunjungi tetamu kecuali pada Hari Raya dan majlis kecil-kecilan seperti sambutan hari jadi atau perkumpulan keluarga.

Ketika Alia ingin melangkahkan kaki untuk naik ke bilik, dia terdengar bunyi kereta masuk ke halaman rumah. Kedengaran ayah dan ibunya membuka pintu utama, mempersilakan tetamu yang hadir masuk. Alia yang tertanya-tanya akan tetamu ayahnya itu berniat untuk menghendap di balik pintu yang memisahkan ruang tamu utama dan ruang hallway menuju ke dapur. Dia sudah berada di hadapan pintu itu apabila tiba-tiba ia dibuka cepat dari dalam.
“Aduh!” Alia menjerit kecil apabila hujung kaki pintu mengenai ibu jari kakinya. Dia terlompat ke belakang dan terduduk di lantai. Alia terus mengurut jari kakinya itu dan melihat ke arah pintu.
“Eh?! Maaf!” kedengaran suara seorang lelaki di sebelah pintu. Alia terasa seperti bodoh pada waktu itu. Dia terkejut apabila melihat seorang lelaki muda masuk dan meluru ke arahnya. Lelaki itu terkejut mendengar suara Alia menjerit kecil tadi.
“Awak tak apa-apa ke?” tanya lelaki itu. Alia semakin terkejut melihat wajah lelaki itu.
“Macamana awak boleh di sini?!” Suara Alia tiba-tiba meninggi. Dia masih ingat wajah lelaki itu. Lelaki yang melanggarnya tempoh hari. Yang menumpahkan minuman ke bajunya. Yang membuat dia marah kerana baju kesayangannya rosak dan tidak dapat dipakai lagi. Blouse putih yang sudah bertompok warna kopi.
“Eh? Awak kenapa ni?” tanya Ilham. Dia turut terkejut melihat Alia. 'Ni kan perempuan yang marahkan aku hari tu', bisik hati Ilham. Ilham hanya melihat Alia duduk di lantai sambil menggosok-gosok ibu jari kakinya.
“Awak ni! Sakit tau jari kaki saya! Awak buat apa masuk sini? Siapa suruh awak ke sini?” marah Alia.
“Dah orang rumah jemput, nak buat macamana,” sahut Ilham bersahaja. Dia menahan tawa melihat wajah Alia yang marah sambil menahan kesakitan. Alia membesarkan matanya dan merenung anak mata Ilham. 'Orang tengah marah, dia boleh main-main lagi,' rungut hati Alia.
“Al, kenapa ni?” tiba-tiba Umi pula masuk. Dia terdengar suara Alia dari ruang tamu. Hairan. Dengan siapa anak gadisnya itu bertengkar.
“Ni ha, Umi. Siapa suruh dia ke sini? Buat apa dia di sini?” rungut Alia. Sakit hatinya melihat Ilham yang tercegat di situ. Tersengih sendiri. Alia sudah berdiri, berhadapan Ilham.
“Ah, Ilham. Tandas di sebelah sana,” Umi tersenyum kepada Ilham sambil menunjuk ke arah pintu tandas.
“Terima kasih auntie. Ilham dah tak tahan ni!” seloroh Ilham dan terus menuju ke tandas. Dia hampir saja terlupa akan niatnya untuk ke tandas apabila pintu yang dibukanya terlanggar kaki Alia. Ketika di dalam perjalanan lagi dia sudah terasa ingin membuang air kecil. Cuaca malam itu sejuk dengan hujan yang renyai-renyai. Tambahan lagi aircond kereta ayahnya yang sejuk. Terpaksalah menahan rasa malu apabila dia meminta izin pada isteri rakan ayahnya untuk pergi ke tandas sebaik sahaja mereka sampai.

Selasa, 8 November 2011

BAB 11 : Selamat Pengantin Baru!

“Umi, Al pergi bilik air kejap” Alia menyangka dia akan kuat seandainya kejadian itu berlaku di depan mata. Ternyata Alia sudah tewas dengan kekuatan yang cuba dikumpulnya selama ini. Tanpa berlama, Alia beredar dengan segera ke bilik air yang terletak tidak jauh dari tempat duduknya. Bimbang jika air matanya akan tumpah buat kesekian kalinya di situ, yang pasti bukan di hadapan ibunya apatah lagi di hadapan lelaki yang sudah menabur kaca di taman hatinya.

Alia memandang wajahnya di hadapan cermin. Wajah yang basah dengan deraian air mata. Sesuatu yang tidak patut berlaku. Alia! Kau kena kuat! Kau tak boleh tunjukkan yang kau lemah! Hati Alia telah menjerit dan menyuntik kembali kata-kata semangat yang selama ini cuba dibaja di dalam hati.

Air mata yang tadi melencunkan wajahnya kini disekat dengan kasar sekali. Senyuman penuh keyakinan menemani langkahnya yang diatur penuh dengan keyakinan. Keluar meninggalkan bilik air, langkah di atur satu persatu.

“Tahniah, selamat pengantin baru” ujar Alia Maisara menyapa Nazrul yang sudah kehilangan butir bicara. Senyuman Alia masih tidak lekang dari menghiasi wajahnya yang tampak begitu manis menerbitkan lesung pipit di pipi mulusnya. Meninggalkan pasangan tersebut dengan perasaan yang penuh bahagia.

Ahad, 6 November 2011

BAB 10 : Kenapa Di Sini...

Alia masih terbayangkan kejadian yang berlaku pada petang tadi. Entah kenapa dia hilang sabar ketika itu. Wajah lelaki itu pun masih dia teringat. Sesekali dia tersenyum memikirkan wajah lelaki tadi yang berubah setelah melihat dia marah bagaikan naga ingin menghemburkan api pada mangsanya. 'Padan muka,' bisik hati Alia. Dia semakin tersenyum lebar apabila teringatkan teman lelaki itu. Punyalah pucat wajahnya. Bagai habis darah di wajahnya melihat Alia marah. Alia terlepas tawa kecil dengan tidak senghaja apabila teringat wajah lucu kedua lelaki tersebut.

"Alia, apa yang lucu ni?" tanya Umi. Dia hairan melihat anak gadisnya itu tersenyum-senyum sendiri sedari tadi. Ketika itu, mereka sedang memilih minyak wangi untuk hadiah harijadi ayahnya.
"Takde lah Umi. Al tak sabar nak buat surprise untuk Daddy esok," jawabnya berselindung. Baginya, tak perlu lah Uminya tahu akan kejadian petang tadi. 'Hal kecil,' bisk hati Alia lagi. Setelah puas memilih, akhirnya Hugo Just Different menjadi pilihan. Minyak wangi lelaki yang baru sahaja di lancarkan. Alia dan Umi berpuas hati.
"Umi, kita pergi makan ya. Al lapar lah Mi," Alia memberitahu Umi sebaik sahaja mereka melangkahkan kaki keluar dari kedai yang menjual pelbagai jenis minyak wangi itu.
"Ok, jom Al. Alia nak makan apa ya?" tanya Umi sambil melirik jam tangannya. Dia pun terasa lapar juga.
"Kita makan kat Hot Point, ok kan Umi? Al nak makan nasi," cadang Alia.
"Ok, mari Al," sahut Umi.

Setibanya mereka di Hot Point, The Mall, kedua anak beranak itu dipersilakan duduk oleh seorang pelayan. Setelah membuat pesanan, Alia dan ibunya bercerita lagi mengenai kejutan yang bakal mereka buat untuk harijadi ayahnya esok malam. Mereka begitu asyik bercerita apabila mata Alia terpandang raut wajah yang dikenalinya. Lelaki itu sedang duduk tidak jauh dari meja mereka. Kelihatan lelaki itu begitu mesra bersama wanita yang duduk di sebelahnya. Tiba-tiba hati Alia menjadi tidak tentu arah. Wajah cerianya berubah.

Rabu, 2 November 2011

BAB 5 : Ku Sangka Kau Adalah Untukku

Pagi yang ceria bertukar menjadi mendung, mendung dengan tangisan Alia yang memenuhi ruang bilik tidurnya. Berita yang baru dikhabarkan itu sukar untuk dipercaya oleh akal sihatnya. Tak mungkin!

Nafas terasa sesak, lemas, berat untuk dihela. Mata terasa perit, pandangan semakin kabur. Walau cuba dibendung, air jernih itu tetap berdegil, mengalir membanjiri wajahnya yang mulus.

“Alia, sudahlah tu. Bawa istighfar banyak-banyak. Benda dah nak jadi. Nazrul tu memang tak layak untuk kamu. Insya Allah mak yakin akan ada seseorang yang lebih baik untuk Alia” Zainab, ibu Alia cuba memberi ketenangan buat satu-satunya anak tunggalnya. Sebagai seorang ibu, dia juga agak terkilan dan tersentak saat mendengar berita yang dikhabarkan oleh bakal besannya bahawa Nazrul, tunang kepada Alia terpaksa dinikahkan pada petang itu. Pada malam sebelumnya, Nazrul didapati bersekedudukan dengan seorang perempuan di rumah bujang milik Nazrul.

“Sampai hati dia buat Alia macam ni Umi” ujar Alia dengan nafas yang tersekat-sekat. Riba Zainab sudah basah dengan air mata Alia yang kini membenamkan wajahnya di atas pangkuan Zainab.

“Alia Maisara, dengar sini. Semua yang terjadi ni pasti ada hikmahnya. Alia kena kuat untuk terima takdir Allah ni. Umi tak nak tengok Alia patah semangat hanya kerana lelaki yang tak tahu nak menghargai anak mak ni” Zainab kini sudah mengangkat wajah Alia untuk memandang wajahnya. Begitu simpati melihat wajah Alia yang sudah lusuh, basah dengan deraian air mata. Tergamak kau buat anak aku macam ni Nazrul. Hati Zainab merintih mengenangkan nasib Alia yang pastinya sudah merancang serba sedikit persiapan untuk majlis persandingannya yang bakal diadakan pada awal tahun depan. Namun semuanya itu sudah hancur, tiada guna untuk disesali.

Alia kemudian memeluk ibunya dengan erat untuk mencari kekuatan. Melepaskan baki tangisannya di bahu Zainab yang kini juga sudah tidak mampu menahan sebak di dada. Tangisan mereka kini menyatu.