Selasa, 6 Disember 2011

BAB 17 : Wajah Itu...

Ilham hanya memerhatikan reaksi dari Alia. Entah mengapa hatinya begitu terhibur tatkala melihat Alia berwajah muncung. Ingin saja lagi rasa hatinya mengusik gadis yang mudah melenting itu. Terbayang lagi di mindanya saat mereka terjumpa di Coffee Bean tempoh hari. Memang Alia garang pada waktu itu. Marah-marah. Namun Ilham bagaikan dapat menangkap isi hati Alia apabila merenung anak mata gadis yang berwarna coklat tua itu. Entah mengapa Ilham bagaikan tertarik untuk mengenali gadis itu dengan lebih dalam lagi. Dia tidak pernah tertarik dengan mana-mana perempuan dengan begitu cepat tetapi kali ini hatinya bagaikan meronta-ronta.

Tanpa disedari, Ilham memerhatikan Alia menyuapkan makanan ke dalam mulut comelnya itu perlahan-lahan. Soalannya tadi membuatkan Alia tunduk diam tanpa sebarang suara. Gadis itu bagaikan malas melayan kerenah Ilham yang tiba-tiba saja menjengkelkan baginya. Ilham memerhatikan lagi wajah perempuan di hadapannya. Hatinya terasa sejuk dan tenang. Ilham sendiri tidak pasti sebab dia berperasaan begitu.

"Ish, apa yang awak tengok-tengok tu?" Alia menegur Ilham separuh berbisik dengan harapan orang tua mereka tidak menyedari akan hal itu. Dia berasa rimas dengan renungan lelaki yang berada di hadapannya. Ilham yang terkejut melihat mata garang Alia lantas tersengih. Terasa malu bila ditegur begitu. 'Hah, itulah kau. Suka hati je tengok dia. Kan sekarang dia dah marah,' bisik hati Ilham.

Makan malam diteruskan tanpa sebarang suara dari Alia mahu pun Ilham. Hanya perbualan rancak dari orang tua mereka yang sesekali di selang selikan dengan tawa. Mereka berdua hanya fokus kepada menghabiskan makanan masing-masing. Selesai saja para tetamu habis makan, Alia membantu Uminya untuk mengemaskan meja makan manakala Ilham dan kedua orang tuanya di persilakan untuk ke ruang tamu bagi menikmati pencuci mulut.

"Al, lepas ni kita ke bilik tamu ya? Temankan ibu si Ilham. Biarlah Bibik yang cuci pinggan ni," Umi memberitahu Alia sebaik sahaja mereka berada di dapur. Umi memanggil pembantu rumah mereka lalu membawa Alia ke ruang tamu. Alia hanya patuh pada arahan Umi tanpa memikirkan sangat hal yang terjadi di antara dia dan Ilham awal tadi.

Di ruang tamu, Alia hanya duduk diam sambil mendengar perbualan orang tua mereka. Sesekali Ilham turut menyampuk dengan perbualan mengenai perniagaan yang diwarisinya. Alia yang kebosanan mencuri pandang wajah Ilham. Lelaki itu duduk di hadapannya kini. Diperhatikannya dalam diam wajah lelaki muda itu. Matanya, hidungnya, senyumannya, giginya, suaranya. 'Hm, kacak jugak dia ni,' bisik hati nakal Alia. Dia terus memerhatikan Ilham yang kini sedang rancak bercerita bersama ayahnya. Ilham tersenyum. Tiba-tiba hati Alia bergetar. Dia teringat pula kisah sewaktu dia mengerjakan ibadat umrah di Mekah bersama rakan-rakan universitinya pada tahun lepas. 'Eh? Aku macam pernah jumpa dia sebelum ni? Tak mungkin... Tak mungkin dia..' bisik hatinya.

"Kan Alia?" suara ayahnya menyedarkan Alia dari lamunan.
"Apa ayah?" Alia cuba menyembunyikan tingkah lakunya yang tidak tentu arah. Semua mata tertumpu padanya ketika ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan