Jumaat, 4 November 2011

BAB 7 : Kerana Kopi...

"Nadia, awak macamana sekarang? Aku dengar engkau dah nak kahwin dengan si Asri tu," tanya Sofia. Alia turut mengangguk tersenyum. Terbayang wajah lelaki yang tinggi dan berkulit hitam manis. Asri merupakan rakan sekelas Nadia sewaktu di universiti dulu. Dia seorang yang ceria dan baik hati. Sama macam Nadia.
"Ya, kitorang dah di dalam perancangan dah. Insya Allah, awal tahun depan. Tak lama lagi. Cuma tinggal empat bulan saja lagi. I nervous tau!" jawab Nadia sambil tertawa. Sememangnya dia begitu bahagia dengan hidupnya sekarang. Hatinya memanjatkan syukur di dalam hati. Hidupnya sekarang sedang didedikasikan kepada pekerjaannya sebagai seorang pensyarah di salah sebuah kolej. Manakala tunangnya, Asri, merupakan seorang pensyarah di salah sebuah universiti Islam di negara ini. Memang sama-sama sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Sama-sama punya tanggungjawab besar. Sebab itu persediaan untuk perkahwinan mereka dirancang lebih awal.

Alia dan Sofia berasa gembira mendengar khabar berita gadis yang berumur dua puluh tujuh tahun itu. Ini bermakna bertambah lagi senarai kad jemputan koleksi dari rakan-rakan lain yang sudah pun berumahtangga. Bahagia Nadia pun bahagia mereka juga. Sofia pula sekarang sedang menumpukan perhatian pada pekerjaannya di salah sebuah syarikat telekomunikasi terbesar di sini. Peranannya sebagai CEO memikul tanggungjawab yang begitu besar baginya dan membuatkan dia belum lagi terfikirkan soal jodoh. Yang dia pasti, bila jodoh itu datang, ia akan datang juga.

Petang itu mereka habiskan dengan menceritakan pengalaman hidup masing-masing dan sesekali terselit juga kisah sewaktu mereka berada di universiti dulu. Semakin rancak mereka bercerita, semakin banyak kenangan pahit manis timbul semula sewaktu mereka belajar. Sesekali terslit juga cerita terbaru tentang rakan-rakan seperjuangan mereka yang lain. Ada-ada saja yang dibualkan oleh tiga sekawan itu.

Sedar tak sedar, jam sudah menunjukkan jam 5:30 petang. Alia terkejut apabila melihat jam tangannya. 'Alamak! Aku ada janji dengan Umi lah petang ni!' bisiknya di dalam hati lalu meminta diri untuk pulang ke rumah. Dia hampir terlupa bahawa dia dan ibunya berjanji untuk keluar bersama pada malam itu. Dia dan ibunya berhajat untuk membeli hadiah ulangtahun ayahnya yang jatuh pada keesokan harinya. Dua beranak itu membuat perancangan untuk membuat kejutan pada esok malam, iaitu sebaik sahaja ayahnya pulang dari Australia. Pulang dari menguruskan hal ehwal perniagaannya. Alia lantas bergegas untuk beredar dari situ setelah mengucapkan selamat tinggal pada kedua rakannya. Dia tahu dia lambat dan dia tidak ingin ibunya menunggu kedatangannya terlalu lama.

Alia sedang menuju ke arah keretanya apabila seorang lelaki yang berjalan bertentangan dengannya tiba-tiba terlanggar bahu Alia lantas tertumpah minuman ke arah gadis itu. Bajunya yang putih bersih pada mulanya itu telah tercemar dengan bau dan warna kopi yang pekat. Alia terkejut lantas melontarkan pandangan marah pada lelaki itu. Manakala si lelaki pula membalas pandangan Alia dengan penuh rasa bersalah. Teman si lelaki hanya berdiri di sebelahnya. Terkejut kaku. Kecut juga hatinya melihat wajah gadis yang agak garang itu. Dia hanya melihat blouse si gadis yang kotor akibat tertumpah kopi sahabatnya. Masa bagaikan terhenti seketika.

Rabu, 2 November 2011

BAB 6 : Biar ku merasa pahitnya seorang~

"Al?!" tersentak Alia dari lamunan kisah silamnya yang pahit. Raut wajah punyanya segera mengukir garis-garis resah. Bimbang sejuta rasa.

Satu sebabnya, Alia sebenarnya tidak pasti samada mahu melontar cerita mengenai Nazrul kepada dua sahabat karibnya itu ataupun tidak. Manakala sebab yang lainnya pula, perlu benarkah untuknya mengungkit semula sejarah hitam itu?

Alia pasti jika bab Nazrul itu dibangkitkan lagi, sudah tentu Nadia dan Sofia akan sama-sama merasa luka yang masih bersarang di tangkai hatinya...

"Al?! Awak dengar tak ni? Macam ada yang tak kena saja..." Sofia sekali lagi menyentakkan layangan fikiran Alia.

"Ohhh, tak apa-apa... Alia ok aja. Hmmm, tak kuasalah nak cerita tentang Alia. Tak seronok. Hidup Alia mendatar saja sejak dua menjak ni," jawap Alia berela. Senyuman manis terlukis di wajahnya, menyembunyikan sengsara yang membebani kudratnya.

"Kalau macam tu, kita fokus pula pada Nadia," usul Sofia bersahaja.

BAB 5 : Ku Sangka Kau Adalah Untukku

Pagi yang ceria bertukar menjadi mendung, mendung dengan tangisan Alia yang memenuhi ruang bilik tidurnya. Berita yang baru dikhabarkan itu sukar untuk dipercaya oleh akal sihatnya. Tak mungkin!

Nafas terasa sesak, lemas, berat untuk dihela. Mata terasa perit, pandangan semakin kabur. Walau cuba dibendung, air jernih itu tetap berdegil, mengalir membanjiri wajahnya yang mulus.

“Alia, sudahlah tu. Bawa istighfar banyak-banyak. Benda dah nak jadi. Nazrul tu memang tak layak untuk kamu. Insya Allah mak yakin akan ada seseorang yang lebih baik untuk Alia” Zainab, ibu Alia cuba memberi ketenangan buat satu-satunya anak tunggalnya. Sebagai seorang ibu, dia juga agak terkilan dan tersentak saat mendengar berita yang dikhabarkan oleh bakal besannya bahawa Nazrul, tunang kepada Alia terpaksa dinikahkan pada petang itu. Pada malam sebelumnya, Nazrul didapati bersekedudukan dengan seorang perempuan di rumah bujang milik Nazrul.

“Sampai hati dia buat Alia macam ni Umi” ujar Alia dengan nafas yang tersekat-sekat. Riba Zainab sudah basah dengan air mata Alia yang kini membenamkan wajahnya di atas pangkuan Zainab.

“Alia Maisara, dengar sini. Semua yang terjadi ni pasti ada hikmahnya. Alia kena kuat untuk terima takdir Allah ni. Umi tak nak tengok Alia patah semangat hanya kerana lelaki yang tak tahu nak menghargai anak mak ni” Zainab kini sudah mengangkat wajah Alia untuk memandang wajahnya. Begitu simpati melihat wajah Alia yang sudah lusuh, basah dengan deraian air mata. Tergamak kau buat anak aku macam ni Nazrul. Hati Zainab merintih mengenangkan nasib Alia yang pastinya sudah merancang serba sedikit persiapan untuk majlis persandingannya yang bakal diadakan pada awal tahun depan. Namun semuanya itu sudah hancur, tiada guna untuk disesali.

Alia kemudian memeluk ibunya dengan erat untuk mencari kekuatan. Melepaskan baki tangisannya di bahu Zainab yang kini juga sudah tidak mampu menahan sebak di dada. Tangisan mereka kini menyatu.

BAB 4 : Sofia, Alia dan Nadia

"Alia!" Nadia memanggil nama rakannya itu sebaik sahaja dia melihat Alia berjalan menuju ke arah mereka. Sofia hanya tersenyum lebar melihat Alia yang sudah hampir setahun tidak ditemuinya itu. Tidak banyak perubahan yang ketara pada gadis manis itu. Alia melangkah laju dan terus merangkul tubuh kedua orang rakannya dek kerinduan yang membuak di dada. Dia berasa begitu gembira kerana masih diberi peluang untuk bertemu dengan mereka. Masing-masing sudah mempunyai jalan hidup mereka sendiri. Pekerjaan membuatkan mereka sentiasa sibuk dan jarang berjumpa.

Nadia dan Sofia merupakan rakan rapatnya semenjak mereka berada di bangku sekolah menengah lagi sehinggalah mereka bertiga berjaya melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti terkemuka di negara ini. Mereka sentiasa berada di dalam kelas yang sama ketika di sekolah menengah dan ini mengeratkan lagi persahabatan mereka bertiga. Setelah berada di universiti, masing-masing memilih kursus yang diminati namun mereka sentiasa mencari peluang untuk berjumpa. Sehinggalah mereka menerima ijazah, dan seterusnya mendapat kerja, baru lah mereka terasa berjauhan.

"Apa khabar Nadia?" tanya Alia setelah mereka mendapatkan tempat duduk yang selesa di dalam cafe itu. Suasana cafe pada waktu itu amat santai, sesuai dengan mood mereka bertiga yang ingin bersantai pada petang itu.
"Alhamdulillah, sihat. Awak apa khabar?" tanya Nadia.
"Macam ni lah. Tengok, awak rasa saya sihat ke tak?" seloroh Alia sambil tersenyum lebar.
"Awak lebih dari sihat agaknya!" sahut Sofia lantas mencuit lengan rakannya itu. Dia faham akan perangai Alia yang memang suka berseloroh. Mereka bertiga tertawa dan masing-masing bersyukur kerana keadaan mereka sihat walafiat dan masih seperti dulu.

Perbualan rancak mereka bertukar menjadi sedikit suram apabila Sofia bertanya pada Alia, "Al, apa khabar tunang awak?". Pada mulanya, Alia hanya tersenyum dan mendiamkan diri. Sofia dan Nadia berasa hairan dengan respon rakan mereka itu. Alia mula meremas jari manisnya yang terasa kosong dan tiba-tiba hatinya terasa pilu. Kedua rakannya terdiam lantas fikiran mereka diburu tanda tanya dan perasaan ingin tahu.
"Apa telah terjadi Al?" tanya Nadia dengan penuh tanda tanya.

Selasa, 1 November 2011

BAB 3 : Bila hati hadir menyapa, rindu semalam tiada ku lupa~

'Organiser' lusuh yang sentiasa ku usung ke sana ke mari, ku selak perlahan-lahan, mengurut reda debaran hati yang kian rancak mengalun ombak. Aku resah sebenarnya. Ada pertemuan enam mata yang wajib aku tunaikan hari ini tapi tempat dan waktunya sudah luput di minda ku...

"Lah... Kat sini rupanya. Times square dan 3 petang," sebaris ayat itu ku baca rakus sambil telapak tangan kanan menampar halus dahi mulus ku...

Seraya menutup 'organiser' tersebut, aku mengalihkan pandangan menghala ke sekeping gambar lama yang menghias indah ruang mejaku. Gambar itu dirakam sewaktu kami bertiga menjalani kursus kepimpinan di negeri bawah bayu.

"Kita bakal bertemu, sahabat-sahabatku. It has been ages since we last met. Semoga diberkahi pertemuan kita nanti..." hatiku sempat menukil sewarkah doa.

Jam di dinding, ku lirik sekejapan. 2:15 petang jemarinya bertunjukkan. Ada waktu 45 minit lagi untuk ku bersiap-siap. Tanpa membuang masa yang ku rasa sedikit cemburu dengan secatur pertemuan yang bakal berlaku hari ini, aku segera menyiapkan diri.

Dalam kesibukan ku mendandan diri, fikiranku sempat melayang jauh, mengimbas kembali zaman-zaman kegemilangan aku dan sahabat-sahabatku. Mana mungkin kisah-kisah kegemilangan tersebut dilupakan begitu sahaja... Malah kesemuanya masih tersemat kukuh di ingatanku.

"Without you guys, I am still searching for true friends..." ada riak ceria ketika aku menuturkan kalimat ini. Benar, aku terlalu teruja.

Tapi, mungkinkah mereka juga seteruja aku? Hmmmm...