Khamis, 27 Disember 2012

Orang itu



Hari ini adalah masuk hari pertengahan di bulan ramadhan umat Islam menunaikan ibadah puasa. Semangat Alia untuk menambahkan amal ibadah semakin membara. Alia nekad, ingin cuba mencari malam yang istimewa itu. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Alia cukup berasa lebih tenang sekarang, ada “isu” yang sudah tidak mengganggu ketenteraman hatinya di sepanjang bulan Ramadhan. Mungkin kerana sudah lama dia tidak mendengar langsung sebarang khabar berita daripada orang itu. Alia lebih selesa begitu. Orang itu mungkin adalah cuma “watak sampingan” dalam hidupnya. Alia cuba meyakinkan dirinya kerana itu adalah lebih baik daripada terus berharap. Berharap? Alia menggeleng-gelengkan kepalanya dan tersenyum sendiri.

“Amboi cik Alia, tersengih-sengih pulak dia. Teringatkan siapa pulak tu?” sergah Sofia apabila melihat sahabatnya di sebelah tersenyum sendiri. Sewaktu tengah memandu pula tu. Risau juga sekiranya tumpuan Alia tidak pada jalan raya. Kan bahaya?!

“Hish, ingat siapa pulak? Aku tengah fikir lah ni” jawab Alia cuba berselindung. Hampir merah seluruh wajah dek tuduhan Sofia yang kena tepat pada tempatnya.

“Fikir apa?” soal Sofia dengan dahi mencipta kerutan.

“Nak beli apa untuk juadah berbuka nanti. Macam-macam jenis makanan dah menjelma dalam kepala aku sekarang!” akhirnya Alia terfikir jawapan yang paling munasabah dan masuk akal untuk menjawab pertanyaan Sofia. Nasib baik. Takkanlah aku nak beritahu kau yang aku tiba-tiba teringat orang itu?! Bisik hati Alia.

“Jangan beli banyak sangat, kau ingat tak dulu?” ujar Sofia sekadar memberi peringatan. Membuatkan tawa Alia pecah berderai memenuhi ruang kereta. Berair mata Alia akibat ketawa yang tidak mampu dikawal.

“Hah gelaklah gelak. Bukan kau saja yang kena, aku pun habis kena brainwash sekali oleh ayah kau” geram sungguh Sofia apabila mengenangkan kisah tersebut.

“Ayah aku memang macam tu, suka exagerrate. Lagi pun taklah banyak sangat pun kita beli masa tu” sahut Alia dengan tawa yang masih tersisa tetapi semakin beransur-ansur surut. Mata yang berair diseka dengan hujung lengan baju.

“Lebih dari lima jenis kuih, macam-macam jenis mee, tu belum tambah dengan ayam panggang entah berapa potong kau beli, itu tak banyak?!!” emosi Sofia bercerita supaya Alia ingat dengan apa yang pernah berlaku. Tidak mungkin akan Sofia lupa kejadian itu kerana disebabkan Alia yang membeli juadah berbuka sehingga tidak ingat dunia itu, Sofia juga turut jadi mangsa. Mangsa leteran ayah Alia. Ceramah percuma di bulan puasa.

“Jangan risau, kali ni kita takkan kena brainwash” kata Alia tersengih.

“Mentang-mentang mak ayah pergi umrah, bebaslah kau ek? Al, kenapa kau tak ikut mereka pergi umrah? Kau kan nak sangat pergi lagi” cerita kini bertukar babak. Terus hilang tawa Alia. Sayu pula wajahnya.

“Aku memang nak, tapi syarikat ayah aku tu baru terima satu projek besar sekarang. Banyak benda yang aku perlu pantau” terang Alia kelihatan cukup kecewa kerana tidak boleh turut bersama ayah dan ibu pergi menunaikan umrah. Di bulan ramadhan pula tu, pasti lebih seronok.

***
Alia dan Sofia kini keluar dari perut kereta. Bersedia untuk membeli serba sedikit juadah untuk berbuka. Dari satu gerai ke satu gerai yang lain mereka terokai. Bukanlah gerai ramadhan namanya jika ianya tidak dipenuhi dengan pelbagai jenis makanan dan minuman. Semuanya membuka selera. Hatta sekadar air kosong pun sudah cukup membuatkan air liur hampir tumpah. Memang itulah dugaan orang berpuasa. Dengan keadaan cuaca yang cukup panas. Ditambah lagi dengan kepulan-kepulan asap hasil daripada ayam salai dan ikan salai. Jika hendak diikutkan nafsu, pasti semua ingin dibeli.

Tapi Alia teringat pesan ayahnya. Memang ada betulnya. Tidak sia-sia dia dileteri sepanjang malam hanya gara-gara membeli juadah berbuka yang berlebihan. Semuanya hanya membazir. Puasa bukan sekadar untuk menyihatkan tubuh badan dan taat akan suruhan tuhan. Tapi ianya juga untuk mengenangkan nasib saudara kita yang fakir miskin. Yang tidak pernah merasa makanan yang enak. Apatah lagi untuk makan sehari sekali juga payah.

“Al, dah hampir setengah jam kita pusing-pusing dari tadi. Langsung satu apa pun kau tak beli lagi ni” tegur Sofia dengan suara jelas kedengaran agak letih. Kali ini masuk empat kali mereka tawaf di gerai ramadhan tersebut. Langsung satu benda pun belum ada yang dibeli. Alia dan Sofia kini berhenti dalam kesesakan orang ramai yang semakin memenuhi gerai ramadhan. Jam di pergelangan tangan di kerling kejap. Sudah masuk pukul tiga setengah petang. Ini bermakna lebih kurang dua jam lagi akan tiba masa waktu berbuka.

“Err, aku tak tahu nak beli apa” jawab Alia. Muka blur melampau-lampau. Tiba-tiba Sofia tersenyum lebar. Siap memetik jari berkali-kali.

“Apa kata kalau kita masak je lah, nak? Kita ajak Nadia sekali? It’s gonna be the best time for us before dia jadi wife orang!” rupanya itulah idea bernas tahap pecah panggung yang sedang difikirkan oleh Sofia. Alia juga turut tersenyum penuh kegembiraan.

“A’ah lah kenapalah kita tak terfikir dari tadi! Cadangan kau memang meletup! Jom?” cukup teruja Alia. Tangan Sofia ditarik dan ingin segera beredar dari situ. Belum sampai satu tapak mengorak langkah, Alia terasa kakinya tidak mendarat di atas tanah. Tapi ternyata telah mendarat pada kasut seseorang. Ops.........

“Ya Allah! Maaf!” perkataan yang mula-mula keluar dari mulut Alia. Pandangannya masih pada kasut si mangsa.

“Ilham?” ujar Sofia. Segera Alia mendongakkan kepala. Begitu kecilkah dunia atau takdir apakah lagi sedang berlaku di depan mata?

“Ehm, nasib baik tak tumpah kena baju awak lagi...... kan? Maaf, tak nampak tadi” barulah Ilham mula bersuara dengan perlahan. Tidak marah-marah. Nada suara kedengaran cukup tenang dan bersahaja.

“Tak, salah saya. Maaf” giliran Alia pula berkata-kata. Tidak berani memandang Ilham.

“Dua-dua tak salah. Korang ni pun” sampuk Sofia cuba menjernihkan keadaan yang sememangnya telah jernih.

“Tak beli apa-apa?” soal Ilham sekadar ingin tahu.

“Tak jadi, kami tukar plan” balas Sofia.

Plan apa?” tanya Ilham, bukan lagi sekadar ingin tahu. Tapi memang dia ingin tahu.

“Takpelah, kami balik dulu. Encik Ilham pergilah sambung membeli-belah. Kami dah nak balik. Assalamu’alaikum” dengan segera Alia mencerap tanpa memberi peluang Sofia untuk membalas pertanyaan Ilham. Tangan Sofia segera ditarik. Pergi meninggalkan Ilham. Yang nyata, muka Alia sudah merona merah. Tidak tahu hendak diletak di mana lagi. Beredar segera, itulah langkah yang mampu Alia lakukan. Meninggalkan ‘orang itu’ keseorangan dalam kesesakan orang ramai.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan