Memaparkan catatan dengan label Nadia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nadia. Papar semua catatan

Ahad, 12 Februari 2012

BAB 21 : Suratan Atau Kebetulan?

Alia dan Sofia kini berjalan beriringan dengan senyuman tidak luput dari wajah. Rasa gembira terpancar pada raut wajah mereka berdua yang mengenakan mekap ala kadar sahaja. Namun cukup menyerlahkan kejelitaan mereka berdua.

Masing-masing turut mendukung sebungkus hadiah di tangan mereka. Bersaiz agak besar dan kelihatan berat. Setelah menaiki beberapa buah anak tangga yang terdapat di dalam sebuah rumah yang umpama mahligai mini itu, kini Alia dan Sofia berada tepat di hadapan pintu bilik yang tertutup rapat.

Keadaan rumah itu agak riuh, meriah dengan pelbagai macam jenis bunyi-bunyian. Semuanya bergabung menjadi satu, setiap bunyi itu umpama bertarung dan ingin mendapat tempat pertama dalam pertandingan bunyi-bunyian.

Dengan perlahan Alia menguak pintu bilik tersebut. Buat kesekian kalinya keriuhan dalam rumah itu semakin berganda bilangannya. Suara Alia dan Sofia menambahkan lagi kegamatan yang sedia ada. Kedua-duanya begitu kagum, terpukau , teruja dengan kecantikan dan kejelitaan sahabat mereka Nadia yang lengkap mengenakan pakaian pengantin berwarna coklat keemasan.

Ditambah lagi dengan mekap yang begitu kena dengan wajah Nadia, sekata dengan warna baju pengantin yang menghiasi tubuh Nadia yang begitu langsing. Mereka berdua pada mulanya seolah-olah tidak mengenali Nadia. Wajah Nadia dengan mekap itu memang jauh berbeza dengan kebiasaan wajahnya tanpa mekap.

"Aku ingatkan Aishwarya Rai mana yang terlepas kat sini tadi! Cantik betul kau Nadia! Teringin pulak rasanya nak kahwin bila tengok kau cantik macam ni" puji Sofia dengan ikhlas sambil berseloroh.

"Kahwinlah, nak tunggu apa lagi? Nak tunggu anak raja masuk meminang?" balas Nadia geram dengan Sofia yang langsung seperti belum mahu memikirkan soal mencari pasangan hidup. Terlalu sibuk dan menumpukan perhatian pada kerjayanya sahaja. Alia hanya tersengih melihat tingkah kedua sahabatnya itu.

"Kalau anak raja nak kat aku, apa salahnya kan?" ujar Sofia pula membuatkan Nadia bertambah geram lantas menghempas lembut paha Sofia yang duduk di tepinya.

"Kak long, rombongan pengantin lelaki dah sampai!" adik Nadia memaklumkan. Jantung Nadia berdegup pantas. Gementar! Alia dan Sofia tersenyum lebar.

***

Sejak tadi keduanya hanya berbalas pandangan. Serba salah sama ada hendak menghulurkan senyuman atau pun tidak. Sama ada hendak menyapa atau pun tidak. Perhatian Alia kini lebih ditumpukan pada sahabatnya yang cukup kelihatan serasi duduk di atas pelamin yang tersergam indah. Tidak lagi dapat dinafikan bahawa Nadia dan Asri memang pasangan yang cukup sepadan. Sama cantik sama tampan!

"Al, kau kenal ke lelaki yang datang dengan rombongan Asri tu? Aku perasan dari tadi dia asyik pandang kau je.... ada yang berkenan nampak gayanya" soal Sofia separuh berbisik. Penuh tanda tanya sambil menyelitkan usikan buat Alia. Turut melirik pada lelaki yang dimaksudkan, sedang berdiri tidak jauh dari mereka. Namun pandangan mereka agak terbatas kerana keadaan ruang tamu itu dipenuhi dengan ramai orang yang terdiri dari keluarga terdekat dari kedua belah pihak pengantin.

"Ish jangan nak buat lawak. Dia tu anak kawan baik ayah" jelas Alia. Tidak mahu agar Sofia salah faham.

"Kenapa tak pergi tegur?" usul Sofia.

"Malaslah" balas Alia seolah-olah tidak berminat. Namun debaran di dada melemaskan Alia.

"Handsome jugak kan" komen Sofia sambil tersenyum. Melirik Alia penuh makna. Seperti dapat membaca ada sesuatu yang tersirat dalam nada bersahaja Alia.

"Biasa je aku tengok. Kenapa? Kau berkenan ke?" soal Alia pula cuba mengusik Sofia.

"Tak naklah, dia memang handsome tapi aku rasa dia tak sesuai dengan aku. Dengan kau nampak macam secocok pulak! Sumpah aku tak tipu!" jawapan dari Sofia itu mengundang kerutan di dahi Alia. Lantas menyucuk perut Sofia. Hampir terjerit Sofia dibuatnya tapi berjaya dikawal. Jika tidak, pasti Sofia akan menjadi tumpuan utama mereka yang berada di ruang tamu tersebut. Alia tertawa melihat renungan tajam Sofia.

Pun begitu, fikiran Alia ligat memikirkan kebetulan yang berlaku pada waktu itu. Semenjak pertemuan pertamanya dengan Ilham, takdir seolah-olah mempertemukan mereka pada waktu yang langsung tidak diduga. Adakah semua pertemuan itu hanya kebetulan sahaja atau.....

Alia tidak berani untuk berfikir lebih daripada itu. Ah, sudahlah. Dunia ni kecik, boleh jumpa siapa saja dimana-mana. Bisik hati Alia

Jumaat, 4 November 2011

BAB 7 : Kerana Kopi...

"Nadia, awak macamana sekarang? Aku dengar engkau dah nak kahwin dengan si Asri tu," tanya Sofia. Alia turut mengangguk tersenyum. Terbayang wajah lelaki yang tinggi dan berkulit hitam manis. Asri merupakan rakan sekelas Nadia sewaktu di universiti dulu. Dia seorang yang ceria dan baik hati. Sama macam Nadia.
"Ya, kitorang dah di dalam perancangan dah. Insya Allah, awal tahun depan. Tak lama lagi. Cuma tinggal empat bulan saja lagi. I nervous tau!" jawab Nadia sambil tertawa. Sememangnya dia begitu bahagia dengan hidupnya sekarang. Hatinya memanjatkan syukur di dalam hati. Hidupnya sekarang sedang didedikasikan kepada pekerjaannya sebagai seorang pensyarah di salah sebuah kolej. Manakala tunangnya, Asri, merupakan seorang pensyarah di salah sebuah universiti Islam di negara ini. Memang sama-sama sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Sama-sama punya tanggungjawab besar. Sebab itu persediaan untuk perkahwinan mereka dirancang lebih awal.

Alia dan Sofia berasa gembira mendengar khabar berita gadis yang berumur dua puluh tujuh tahun itu. Ini bermakna bertambah lagi senarai kad jemputan koleksi dari rakan-rakan lain yang sudah pun berumahtangga. Bahagia Nadia pun bahagia mereka juga. Sofia pula sekarang sedang menumpukan perhatian pada pekerjaannya di salah sebuah syarikat telekomunikasi terbesar di sini. Peranannya sebagai CEO memikul tanggungjawab yang begitu besar baginya dan membuatkan dia belum lagi terfikirkan soal jodoh. Yang dia pasti, bila jodoh itu datang, ia akan datang juga.

Petang itu mereka habiskan dengan menceritakan pengalaman hidup masing-masing dan sesekali terselit juga kisah sewaktu mereka berada di universiti dulu. Semakin rancak mereka bercerita, semakin banyak kenangan pahit manis timbul semula sewaktu mereka belajar. Sesekali terslit juga cerita terbaru tentang rakan-rakan seperjuangan mereka yang lain. Ada-ada saja yang dibualkan oleh tiga sekawan itu.

Sedar tak sedar, jam sudah menunjukkan jam 5:30 petang. Alia terkejut apabila melihat jam tangannya. 'Alamak! Aku ada janji dengan Umi lah petang ni!' bisiknya di dalam hati lalu meminta diri untuk pulang ke rumah. Dia hampir terlupa bahawa dia dan ibunya berjanji untuk keluar bersama pada malam itu. Dia dan ibunya berhajat untuk membeli hadiah ulangtahun ayahnya yang jatuh pada keesokan harinya. Dua beranak itu membuat perancangan untuk membuat kejutan pada esok malam, iaitu sebaik sahaja ayahnya pulang dari Australia. Pulang dari menguruskan hal ehwal perniagaannya. Alia lantas bergegas untuk beredar dari situ setelah mengucapkan selamat tinggal pada kedua rakannya. Dia tahu dia lambat dan dia tidak ingin ibunya menunggu kedatangannya terlalu lama.

Alia sedang menuju ke arah keretanya apabila seorang lelaki yang berjalan bertentangan dengannya tiba-tiba terlanggar bahu Alia lantas tertumpah minuman ke arah gadis itu. Bajunya yang putih bersih pada mulanya itu telah tercemar dengan bau dan warna kopi yang pekat. Alia terkejut lantas melontarkan pandangan marah pada lelaki itu. Manakala si lelaki pula membalas pandangan Alia dengan penuh rasa bersalah. Teman si lelaki hanya berdiri di sebelahnya. Terkejut kaku. Kecut juga hatinya melihat wajah gadis yang agak garang itu. Dia hanya melihat blouse si gadis yang kotor akibat tertumpah kopi sahabatnya. Masa bagaikan terhenti seketika.

Rabu, 2 November 2011

BAB 4 : Sofia, Alia dan Nadia

"Alia!" Nadia memanggil nama rakannya itu sebaik sahaja dia melihat Alia berjalan menuju ke arah mereka. Sofia hanya tersenyum lebar melihat Alia yang sudah hampir setahun tidak ditemuinya itu. Tidak banyak perubahan yang ketara pada gadis manis itu. Alia melangkah laju dan terus merangkul tubuh kedua orang rakannya dek kerinduan yang membuak di dada. Dia berasa begitu gembira kerana masih diberi peluang untuk bertemu dengan mereka. Masing-masing sudah mempunyai jalan hidup mereka sendiri. Pekerjaan membuatkan mereka sentiasa sibuk dan jarang berjumpa.

Nadia dan Sofia merupakan rakan rapatnya semenjak mereka berada di bangku sekolah menengah lagi sehinggalah mereka bertiga berjaya melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti terkemuka di negara ini. Mereka sentiasa berada di dalam kelas yang sama ketika di sekolah menengah dan ini mengeratkan lagi persahabatan mereka bertiga. Setelah berada di universiti, masing-masing memilih kursus yang diminati namun mereka sentiasa mencari peluang untuk berjumpa. Sehinggalah mereka menerima ijazah, dan seterusnya mendapat kerja, baru lah mereka terasa berjauhan.

"Apa khabar Nadia?" tanya Alia setelah mereka mendapatkan tempat duduk yang selesa di dalam cafe itu. Suasana cafe pada waktu itu amat santai, sesuai dengan mood mereka bertiga yang ingin bersantai pada petang itu.
"Alhamdulillah, sihat. Awak apa khabar?" tanya Nadia.
"Macam ni lah. Tengok, awak rasa saya sihat ke tak?" seloroh Alia sambil tersenyum lebar.
"Awak lebih dari sihat agaknya!" sahut Sofia lantas mencuit lengan rakannya itu. Dia faham akan perangai Alia yang memang suka berseloroh. Mereka bertiga tertawa dan masing-masing bersyukur kerana keadaan mereka sihat walafiat dan masih seperti dulu.

Perbualan rancak mereka bertukar menjadi sedikit suram apabila Sofia bertanya pada Alia, "Al, apa khabar tunang awak?". Pada mulanya, Alia hanya tersenyum dan mendiamkan diri. Sofia dan Nadia berasa hairan dengan respon rakan mereka itu. Alia mula meremas jari manisnya yang terasa kosong dan tiba-tiba hatinya terasa pilu. Kedua rakannya terdiam lantas fikiran mereka diburu tanda tanya dan perasaan ingin tahu.
"Apa telah terjadi Al?" tanya Nadia dengan penuh tanda tanya.