Sabtu, 31 Mac 2012

Bab 28 : Bertemu Ilham Di Sana

Suasana di sekelilingnya begitu tenang dan damai. Hatinya juga terasa sayu. Dia sampai. Ya, akhirnya dia sampai di sini. Air matanya mengalir tatkala melihat bangunan Ka'abah yang tersergam indah di hadapannya. Hatinya bermunajat tidak berhenti. Mulutnya terkumat-kamit memuji Allah. Seluruh tubuhnya bergetar kerana tidak tahan dengan perasaan yang menyelubungi dirinya di ketika itu. Kakinya terus melangkah perlahan di dataran Ka'abah yang dipenuhi oleh jemaah yang mempunyai niat yang sama ke sana. Air matanya mengalir lagi. Hatinya terasa begitu sayu. Sungguh-sungguh tersentuh. Allah telah memberinya peluang untuk ke sini. Bagaikan tidak percaya dia sudah pun berada di situ. Niat untuk menunaikan Umrah pada tahun itu telah dikabulkan. Alhamdulillah...

Tidak lama kemudian, kedengaran laungan azan untuk menunaikan solat fardhu Maghrib bergema di seluruh kawasan itu. Dia menyertai jemaah yang hadir untuk menunaikan solat. Di dalam hatinya, tidak putus-putus berdoa untuk meraih kasih sayang Ilahi dan mohon diampunkan segala dosa yang pernah dilakukannya sebelum ini. Dengan penuh khusyuk, dia menunaikan solat Maghrib yang pertama sejak dia sampai di Masjidil Haram, tempat letaknya Ka'abah. Kiblat kaum Muslimin untuk menunaikan solat.

Sebaik sahaja selesai, dia berdoa dan terus berdoa agar Allah akan sentiasa memelihara dirinya dan keluarganya di dalam rahmat-Nya. Dia tidak henti-henti berdoa. Air matanya terus mengalir. Sungguh, dia tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkan perasaannya di ketika itu. Semua perasaannya bercampur baur; terharu, gembira, takut, sedih, bahagia... Terasa dirinya begitu kerdil di ketika itu. Tanpa disedarinya, waktu telah berlalu. Kakinya bagaikan tidak mahu melangkah pergi dari situ. Dia berniat untuk terus berada di sana sehingga waktu Isya'. 

Dia baru sahaja mengangkat wajahnya untuk melihat Ka'abah yang tidak jauh ada di hadapannya apabila matanya terlihat kelibat seseorang yang dikenalinya. Dan pada masa yang sama, orang itu memalingkan wajahnya. Sepasang anak mata di wajah itu terus memanah pancaran ke arah anak matanya. Terasa bagaikan tercucuk-cucuk hatinya. 'Ilham?!' hatinya berbisik, terkejut yang teramat sangat. Dia melihat Ilham tersenyum ke arahnya. Dia terus menundukkan wajahnya. Bagaikan tidak percaya Ilham turut berada di situ. Dia memejamkan matanya kuat-kuat. Tidak percaya. Sungguh tidak percaya.

Sebaik sahaja Alia membuka kembali matanya, dia terkejut apabila dia berada di dalam bilik tidurnya sendiri. Dia sedang berbaring di atas katilnya. 'Ya Allah, aku bermimpi rupanya,' bisik hati Alia. Dikesatnya matanya yang terasa basah. Dia menangis di dalam tidur! Dia terus duduk di katilnya. Dilihatnya tangannya yang bergetar. Seluruh tubuhnya terasa gementar. Telapak tangan dan kakinya terasa sejuk. 'Apakah maksud mimpi itu?', bisik hati Alia. Jam dindingnya menunjukkan lima belas minit lagi sebelum waktu Subuh bermula. Dia bingkas bangun menuju ke bilik air.


Jumaat, 9 Mac 2012

Bab 27 : Makan HaTi

Andai dia dapat mengundur waktu, Alia pasti dengan semuktamad-muktamadnya yang dia akan merubah keputusannya untuk tidak bersetuju menemani Sofia berjumpa dengan Ilham di situ. Memang membuatkan Alia cukup makan hati berulam jantung bercicahkan sambal belacan terlebih cili!

Alia cuba mengawal riak wajah agar tidak nampak begitu tegang. Dalam hati semakin membengkak. Alia juga tidak pasti kenapa perlu dia berperasaan sebegitu. Dia sedar yang dia tidak patut berperasaan sebegitu! Tapi apalah dayanya, bukankah perasaan itu sesuatu yang sukar untuk dikawal kalau tak cukup ilmu di dada.

Disebabkan itu jugalah Alia sikit demi sedikit cuba memujuk hatinya sendiri yang sedang berperang dengan suasana yang cukup menduga perasaan kerana melihat kemesraan dan keakraban Ilham dan Sofia. Shah juga tampak lebih menumpukan perhatian pada Sofia walau ternyata Shah saat itu sedang duduk tepat di hadapannya. Alia terasa bahawa kewujudannya di situ seolah-olah tidak memberi apa-apa makna bagi Ilham. Tapi kenapa pula kehadiranku perlu memberi makna pada Ilham? Alia cuba berbahas dengan kata hati sendiri.

Argh! This is insane! Jerit hati Alia buat kesekian kalinya.

"Sof, aku lupalah yang aku janji dengan mak nak teman dia pergi shopping tengahari ni. Aku balik dulu okay?" akhirnya Alia mencipta alasan untuk segera beredar dari tempat itu. Keadaan itu cukup melemaskannya. Berundur diri adalah pilihan yang terbaik saat itu daripada membiarkan hatinya terkeluar daripada jasad kerana setiap detik berlalu hatinya semakin membengkak!

"Ala ye ke? Habis tu kau nak balik naik apa? Kan kita tadi guna kereta aku" tanya Sofia kedengaran hampa tapi jauh di sudut hati, jiwa Sofia tersenyum melihat perubahan Alia yang cuma dia sendiri yang menyedarinya kerana dia cukup mengenali Alia. Sofia tahu bahawa Alia berbohong.

"Takpe aku boleh call Pak Aziz tolong jemput aku" Alia tersenyum. Senyuman plastik. Langsung tidak mahu memandang Ilham yang ternyata sedang merenungnya.

"Let me accompany you to the main entrance" ujar Ilham pula membuatkan perasaan Alia jadi tidak keruan.

"Thanks but no thanks" Alia tidak perlukan bantuan lelaki itu! Alia tidak sudi! Sedarkah lelaki itu yang dialah punca mood Alia bertukar cuaca!

"That's not a permission cik Alia. Come" seperti biasa, lagak Ilham yang tidak makan saman itu membuatkan Alia geram tidak terkata. Tapi........

Tanpa menanti jawapan balas daripada Alia, Ilham sudah pun berdiri daripada kerusinya dan Alia tidak punya  pilihan lagi.


***

Alia dan Ilham kini masih setia menanti Pak Aziz, pemandu Alia. Menanti di ruangan luar pintu utama bangunan "The Mall" tersebut bertemankan kebisuan. Masing-masing tidak mahu memulakan bicara. Ilham mahu agar Alia yang memulakan cakap terlebih dahulu. Tetapi Alia, dalam keadaan seperti itu, memang seleranya untuk berbual terus mati. Lebih-lebih lagi keadaan sekeliling yang dipenuhi oleh beberapa kumpulan remaja yang melepak di sana memang menyakitkan kepala. Dengan cara berpakaian mereka yang langsung tidak menunjukkan budaya timur. Cara percakapan mereka juga tidak beradab. Alia beristighfar sebanyak-banyaknya melihat keruntuhan akhlak segelintir remaja di zaman ini.

"Woot woot cik kak cantik" salah seorang remaja lelaki menegur Alia sambil bersiul-siul. Berseluar ketat berwarna kuning dan baju berukir tengkorak. Ditambah lagi dengan rambutnya yang diwarna dengan warna merah itu cukup membuatkan Ilham merenung tajam pada budak lelaki tersebut.

"Siapa kakak kau? Bila masa dia kawin dengan abang kau?" tegur Ilham kedengaran keras. Alia telan liur melihat ketegasan Ilham yang belum pernah dilihatnya. Tegas yang memang bertempat. Alia cukup terasa dilindungi.

"Releks lah bro. Orang cuma tegur je" jawab budak lelaki itu kelihatan agak kecut dengan ucapan Ilham.

"Tegur elok-elok. Jaga adab sopan tu. Hormat sikit orang tua" balas Ilham masih dengan tonasi yang sama sambil menyelitkan nasihat yang amat berharga buat para remaja yang berkelakuan kurang adab seperti mereka. Nak ganggu Alia aku, agak-agaklah!

"Kita chow lah geng, kat sini ada abang yang nak bagi ceramah. Kita cari port lain" budak lelaki itu sempat membalas kata-kata Ilham sebelum pergi meninggalkan Ilham dan Alia. Tidak berani membuat kecoh kerana di sana terdapat beberapa orang abang-abang pengawal keselamatan sedang bertugas.Alia lega. Hendak tersenyum tapi cuma disimpan.

"Pak Aziz dah sampai. Thanks" ujar Alia dan dengan perlahan mula mengatur langkah.

"Alia" panggil Ilham.

"Kirim salam kat mak ayah....." tambah Ilham dengan senyuman yang ikhlas. Alia hanya mengangguk lantas tanpa berlengah terus memasuki perut kereta. Senyuman Ilham masih berbekas walau kereta yang dinaiki Alia sudah beberapa kilometer jauh meninggalkannya.

Ahad, 4 Mac 2012

Bab 26 : Rancangan Ilham

"Kau biar betul ni Ilham?" tanya Shah lagi. Inginkan kepastian. Dia bagaikan tidak percaya mendengar penjelasan dari Ilham. Sofia? Wah. Betul ke ni? Pucuk dicita, ulam mendatang. Bisik hati Shah dengan girang.
"Betul lah Shah. Lagipun aku tengok, kau dengan Sofia tu ada chemistry. Hah. Hari tu, aku tengok kau tak habis-habis senyum pandang Sofia. Tu apa kes? Angau lah tu," perli Ilham. Hatinya bagaikan melonjak gembira kerana dia pasti rancangannya itu bakal berjaya. 
"Kau rasa dia nak ke kat aku ni Ilham? Ye lah, aku ni takde rupa sangatlah," jawab Shah lagi. Tidak pasti.
"Hai, kau juga yang merayu kat aku, minta tolong carikan pasangan hidup. Hah, dah ni aku nak recommend, kau tolak pula? Sebelum Sofia tu diambil orang, lebih baik kau mulakan langkah," Ilham geram. Dia faham akan sikap sahabatnya itu. Shah memang tidak expert kalau hal-hal memikat hati perempuan. Pernah dulu dia cuba memikat seorang perempuan ketika masih berada di kolej. Bukannya diterima, malah ditampar pula pipinya. Itulah kenangan yang paling pahit Shah pernah hadapi. Manakan tidak, diajaknya perempuan itu kahwin terus. Perempuan itu pula langsung tidak pernah kenal akan Shah. Hinggalah kini, Shah tidak mahu memikirkan soal perempuan. Trauma. Baginya, perempuan sentiasa ganas bagaikan buaya yang lapar. Tapi, apabila dia berjumpa Sofia, hatinya menjadi lembut. Bibit-bibit cinta mula timbul pada gadis yang comel itu. Dia tersenyum.

"Ok lah bro. So, what's the plan?" tanya Shah. Hatinya semakin berbunga-bunga. Wajahnya berseri-seri. Di mindanya ada Sofia kini. Tersenyum manis memanggil-manggil namanya. Sofia yang bermata bundar di sebalik sepasang cermin mata itu kelihatan sungguh comel baginya. Senyuman Sofia begitu mungil. Ditambah lagi dengan adanya lesung pipit di pipi kiri Sofia. Sungguh menawan. Shah mula membayangkan saat-saat manis di antara dia dan Sofia. Saat-saat duduk berdua dengan Sofia. Makan aiskrim, berjalan berdua, melihat suasana indah matahari terbenam di tepi pantai.

"Ei Shah! Kau dengar tak apa aku cakap ni?!" Ilham menepuk belakang sahabatnya itu. Dengan sekelip mata saja, bayangan Sofia di minda Shah hilang.
"Hai, belum lama aku cakap, kau dah gila bayang?" Ilham bertambah geram menengok wajah Shah yang kelihatan melayang fikirannya entah ke mana.
"Sorry! Sorry! Bro! Hah, apa kau cakap tadi?" Shah tersengih. Ilham tersenyum lebar dan mula menjelaskan rancangannya pada Shah.

***

"Tolonglah Alia, temankan aku. Boleh kan?" rayu Sofia pada Alia. Mereka berdua berjalan seganding sambil memilih corak kain yang ada. Suasana kedai tekstil De 'Iyad pada petang itu amat lengang. Pertengahan bulan. Tidak ramai yang keluar membeli-belah.
"Kenapa pula Ilham ajak kau keluar?" Alia hairan. Hatinya berbaur cemburu. Ilham ajak Sofia keluar?
"Entahlah Al. Aku pun tak pasti. Dia kata dia ada sesuatu nak dibincangkan. Tapi kau temankan aku, boleh?" Sofia merayu. Dia masih teringat lagi waktu Ilham menelefonnya. Ketika itu, Sofia sedang memandu balik ke rumah dari tempat kerja apabila telefon bimbitnya berbunyi.

"Assalamualaikum," Sofia menjawab panggilan. Telefonnya disambung ke headset. Matanya terus menumpukan perhatian ke jalan raya.
"Wa'alaikumussalam," jawab si pemanggil. Dia memberitahu bahawa dirinya Ilham. Sofia terkejut.
"Dari mana awak dapat nombor saya?" tanya Sofia.
"Asri. Kan kawan awak tu isteri Asri. Senang je," jawab Ilham sambil tertawa. Sofia turut tertawa kecil.
"Oh, ada apa Ilham?" Hairan juga Sofia. Tidak disangkanya Ilham menghubunginya pada waktu itu. Dia teringat saat mereka berjumpa di Tasek Lama dua minggu yang lalu.
"Um, saya nak jumpa Sofia, boleh? Hari Ahad ni, pagi?" Ilham bertanya. Dahi Sofia berkerut. Dia terdiam. Hatinya tertanya-tanya. Apasal pula dia nak jumpa aku?
"Sof, still there?" suara Ilham membuatkan Sofia tersedar dari lamunan.
"Oh, sorry. Kenapa awak nak jumpa? Ada hal penting ke?" tanya Sofia. Sofia hanya mendengar penjelasan Ilham. Sofia tersenyum. Tersenyum dengan penuh makna. Dia menyatakan persetujuannya. Kedengaran suara Ilham begitu ceria sambil mengucapkan terima kasih di hujung talian.

"Dia nak jumpa kau kat mana?" Suara Alia membawa Sofia balik ke alam realiti. Alia cuba menahan rasa cemburu di hati.
"Swensens, The Mall. Ahad ni, pukul 10:30 pagi, " jawab Sofia. Hatinya gembira. Dia yakin Alia setuju akan menemaninya. Alia berfikir lagi. Perlukah aku hadir sama? Bagaimana dengan perasaan aku? Ish, muka Ilham yang menyampah tu aku malas nak tengok. Tapi... Ah, Alia! Jangan terlalu difikirkan sangatlah.
"Hm...Ok lah," sahut Alia dengan teragak-agak. Ah, dah Ilham suka kat dia. Aku tak boleh buat apa pun. Biarlah. Alia memujuk hati sendiri. Begitu cepat Alia membuat kesimpulan.

***
Alia dan Sofia melangkahkan kaki masuk ke dalam restoran itu. Seorang pelayan restoran mengucapkan selamat pagi dengan senyuman yang lebar di wajah. Memang motto restoran itu untuk menyediakan servis layanan yang mesra dengan pelanggan. Baru sahaja Alia mengucapkan terima kasih pada pelayan muda itu apabila matanya tertangkap pada wajah yang dikenalinya. Hatinya berdegup kencang. Kelihatan Ilham sedang duduk sambil bercerita dengan Shah. Lalu, Alia dan Sofia menghampiri meja kedua lelaki itu. Kehadiran mereka disambut dengan senyuman.
"Assalamualaikum," Alia memberi salam. Ilham dan Shah menjawab sambil tersenyum. Di dalam hatinya berbisik, this plan is going so well so far!
Kedua gadis itu kini duduk berhadapan dengan Ilham dan Shah. Alia di depan Shah, Sofia di depan Ilham. Hati masing-masing memainkan irama yang berbeza namun mempunyai lagu yang sama. Lagu cinta.

Sabtu, 18 Februari 2012

BAB 25 : Satu caranya

'Hanya ada satu caranya,' bisik kecil hati Ilham pada sebelah malamnya. Otot-ototnya yang biasanya menegang akibat dari tekanan kerja, kini terasa mengendur selepas melakukan riadah di waktu petang tadi. Segar alami segera menerpa. Nyaman terasa aliran darah yang berebutan memasuki ruang hati.

"Hanya ada satu caranya," ulangnya lagi, tetapi kini dengan suara yang lantang. Mujur juga tiada sesiapa yang berada di biliknya ketika itu. Jika tidak, memang sudah sah dia digelar 'tiang separuh'. Berbicara seorang diri, tiada hujung pangkalnya. Tiada tajuk utamanya. Entahkan ada makna dalam bicaranya itu.

"Cara untuk aku mendekati Alia ialah dengan cara aku menemukan Shah dengan Sofia. Cara halus," ketawa halus terledak perlahan di hujung ayatnya. Suka benar hatinya.

Telefon bimbit yang letaknya di atas meja, dicapai. Ilham lalu mendail sebaris nombor yang sering kali dihubunginya. Shah! Setelah beberapa deringan, kedengaran panggilan di hujung talian, dijawab.

"Wa'alaikumussalam Ilham. Kau nak apa tengah-tengah malam buta macam ni?" tanya Shah sedikit marah kerana lenanya terganggu dengan panggilan tersebut. Lelah dari mendaki bukit Tasek Lama siang tadi masih bersisa.

"Sori bro! Kacau kau tidur pulak. Tapi inilah, aku ada hal nak cakap dengan kau," luah Ilham sambil lewa.

"Kau nak apa? Dah tak boleh tunggu matahari tu terbit ke nak sound kat aku ni?" balas Shah lagi.

"Apa kata jika aku temukan kau dengan si Sofia, kawan Alia?" perlahan penjelasan Ilham. sengihannya melebar. Yakin bahawa Shah akan 'jatuh cinta' dengan cadangannya itu. Namun, hanya diam singgah di hujung talian.

"Shah?!" panggil Ilham. Sekali lagi, sunyi sepi. Fahamlah Ilham bahawa sahabatnya itu sudah terlelap semula, meninggalkan dirinya terpinga-pinga sekejapan. Menyesal ada juga, hendak meradang pun ada jugak. Hmmmm...

Jumaat, 17 Februari 2012

BAB 24 : 'Coverline'!

"Maaflah Encik Ilham, kami datang sini hajat nak jogging" giliran Alia bersuara. Walau senyuman menghiasi wajah tapi tutur katanya kedengaran begitu sinis. Berharap agar Ilham menangkap maksud yang cuba disampaikannya. Alia tidak berminat untuk 'beramah mesra' saat itu. Lebih-lebih lagi dengan Ilham!

"Samalah" balas Ilham selamba. Masih mengekalkan senyuman yang hampir membengkakkan hati Alia. Alia mula geram kerana kata-katanya yang tidak ada unsur kesopanan itu langsung tidak memberi kesan pada Ilham. Alia menarik nafas sedalam-dalamnya dan melontarkan renungan tajam buat Ilham.

"Kami gerak dulu. Nak hiking" sambung Alia lagi sambil mula mengorak langkah. Diikuti oleh Sofia dengan terpaksa. Senyuman Sofia turut menjadi kelat. Tidak mengerti kenapa perangai Alia berubah seperti itu.

Setahunya Alia adalah seorang yang sentiasa santun dalam berbicara. Sofia berfikir tekun apakah punca sebenarnya yang telah berlaku di antara Alia dan Ilham sehingga Alia melayan Ilham sebegitu rupa. Bagi Sofia,  wajah polos Ilham itu sukar baginya untuk mengkategorikan Ilham untuk masuk dalam kumpulan lelaki jahat. Tapi kenapa?

"Samalah" sahut Ilham lagi tanpa mempedulikan jelingan maut Alia sebentar tadi. Mengekori langkah Alia yang tiba-tiba terhenti kerana mendengar jawapan Ilham. Kerutan di dahi Alia mula mengambil tempat, nampak berlipat-lipat!

"Sof, tiba-tiba aku rasa dah hilang selera nak hiking lah. Aku pergi situ kejap" ujar Alia semakin sinis bunyinya. Rimas dengan sikap Ilham yang tidak makan saman. Lantas mencipta alasan lagi untuk beredar dari sana buat seketika. Seperti selalu!

"Alia nak pergi mana?" soal Ilham dengan teragak-agak. Bukan niatnya mahu membuatkan Alia rimas, cuma dia terhibur melihat reaksi Alia sebegitu. Memang menghairankan namun itulah kenyataannya. Muka masam mencuka Alia itu cukup manis di pandangan Ilham. Tidak perlu sebarang perencah 'secukup rasa'.

"Tandas. Sama jugak ke?!" sindir Alia tegas membuatkan Ilham tergamam. Telan liur. Padan muka! Jerit hati Alia puas hati kerana melihat wajah Ilham yang terkulat-kulat.

***

"Dah dapat balik kau punya selera hiking?" tanya Sofia setelah melihat kelibat Alia yang baru keluar daripada tandas awam yang terdapat di tasek tersebut.

Niat Alia untuk senyum pada Sofia segera terkubur apabila melihat lelaki yang menurut Alia 'perasan hensem' itu ternyata masih setia menanti di sana bersama Sofia. Ilham hanya melirik Alia sambil berlari setempat. Melonggarkan otot-otot yang tegang. Mendamaikan hati yang sedang berperang.

Eee dia ingat dia macho le tu buat macam tu?! Kutuk Alia dalam hati. Segala tindak tanduk Ilham sentiasa tidak pernah ada yang menyenangkan hati Alia. Kenapa? Entahlah!

"I don't think I have any choice. Jom" jawab Alia tanpa mempedulikan renungan Ilham yang penuh berjuta-juta makna itu.

Mereka bertiga kini kembali meneruskan aktiviti yang terbantut sebentar tadi. Sesekali hanya bicara Ilham dan Sofia saja yang kedengaran dengan suara termengah-mengah sedang menaiki pertengahan puncak bukit untuk menuju ke Menara Tasek Lama yang baru saja siap dibina beberapa bulan yang lalu.

Alia hanya membisu sejak tadi. Fikirannya lebih ditumpukan pada misinya ingin menaiki puncak menara tersebut kerana sebelum ini dia hanya mendengar daripada rakan-rakan bahawa pemandangan dari tempat itu cukup menarik. Sebahagian tempat Bandar Seri Begawan dapat dilihat dari tempat itu. Setelah lebih kurang tujuh minit perjalanan, mereka kini berada di puncak tersebut.

Alia begitu teruja saat melihat Menara Tasek Lama berada di depan matanya. Senyuman Alia terukir lebar selebar-lebarnya. Tanpa Alia sedari, Ilham sedang memperhatikannya. Namun renungannya itu terganggu dengan tepukan kuat di bahu kirinya. Ilham menoleh segera.

"Shah! Kau buat apa kat sini?!" soal Ilham separuh terjerit sambil berjabat tangan dengan Shah. Shah Ashaari merupakan teman akrabnya dan sekaligus merangkap sebagai rakan sekerjanya.

"Hiking lah, takkan shopping pulak?" jawab Shah bersahaja dengan soalan tidak masuk akal dari Ilham. Nak buat apa lagi kalau dah berada di situ kalau bukan hiking ataupun joging? Lagi mau tanya.

"Oh, Cik Alia pun ada?" tambah Shah lagi setelah melihat Alia juga turut berada di situ. Seseorang yang selalu menjadi topik perbualannya bersama Ilham tanpa Alia ketahui. Shah kemudian terkedu buat seketika saat melihat renungan tajam Ilham serta wajah penuh tanda tanya Alia. Alamak!

"Ehm, siapa tak kenal anak usahawan terkenal, anak Dato' Haji Yussof kan?" Shah dengan segera mencipta dalih yang kedengaran boleh diterima akal. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata? Memang, memang buruk padahnya kalau tak pandai nak 'coverline'! Anggukan dan senyuman Alia membuatkan Shah dapat menarik nafas lega. Tekniknya ternyata berjaya.

"Panggil Alia je" Alia lebih selesa jika perkataan "cik" itu dibuang daripada pangkal namanya.

"And you are?" soal Shah pula mula mengalih sikit posisi badannya pada seseorang yang hanya memerhatikan perbualan mereka.

"Sofia" jawab Sofia memperkenalkan dirinya. Sofia senyum. Shah senyum. Tak perlu kata apa-apa.

***

"Memang sah dia masih dendam kat aku" komen Ilham. Menghirup perlahan air kelapa yang baru dibeli. Sedang berehat di salah satu bangku yang terletak berdekatan gerai berjual minuman yang terdapat di tasek itu. Alia dan Sofia telah pun pulang beberapa minit yang lalu.

"Dia malu kot? Be positive Ilham" balas Shah cuba berfikiran optimis. Peluh yang memenuhi wajah diseka dengan tuala kecil yang tersangkut di leher.

"Dengan kau bukan main dia ramah tamah. Siap boleh tergelak sakan! Dengan aku, macam tengok rimau! Macamlah aku nak baham dia" ujar Ilham. Ada nada yang berbaur cemburu.

"Take it easy Ilham. Dia perlukan masa agaknya. Salah kau jugak, kenapalah kau suka sangat nak usik dia?" nasihat Shah lagi seolah-olah menyebelahi Alia dalam permasalahan tersebut.

"Entah" jawab Ilham ringkas. Itu saja yang mampu terluah dari mulutnya. Memang dia tidak punya jawapan yang pasti untuk soalan Shah itu. Nak dikatakan hobi? Memang kedengaran melampau. Nak dikatakan tidak sengaja? Memang tak, kerana semua itu memang dilakukan dengan niat!

"Aku tengok kau sejak tadi tak henti-henti senyum ni kenapa?" tanya Ilham hairan. Soalan yang terbuku di hati sejak tadi kini terluah juga.

"Sofia tu comel jugak kan?" jawab Shah. Tersengih. Errrr?