Sabtu, 31 Mac 2012

Bab 28 : Bertemu Ilham Di Sana

Suasana di sekelilingnya begitu tenang dan damai. Hatinya juga terasa sayu. Dia sampai. Ya, akhirnya dia sampai di sini. Air matanya mengalir tatkala melihat bangunan Ka'abah yang tersergam indah di hadapannya. Hatinya bermunajat tidak berhenti. Mulutnya terkumat-kamit memuji Allah. Seluruh tubuhnya bergetar kerana tidak tahan dengan perasaan yang menyelubungi dirinya di ketika itu. Kakinya terus melangkah perlahan di dataran Ka'abah yang dipenuhi oleh jemaah yang mempunyai niat yang sama ke sana. Air matanya mengalir lagi. Hatinya terasa begitu sayu. Sungguh-sungguh tersentuh. Allah telah memberinya peluang untuk ke sini. Bagaikan tidak percaya dia sudah pun berada di situ. Niat untuk menunaikan Umrah pada tahun itu telah dikabulkan. Alhamdulillah...

Tidak lama kemudian, kedengaran laungan azan untuk menunaikan solat fardhu Maghrib bergema di seluruh kawasan itu. Dia menyertai jemaah yang hadir untuk menunaikan solat. Di dalam hatinya, tidak putus-putus berdoa untuk meraih kasih sayang Ilahi dan mohon diampunkan segala dosa yang pernah dilakukannya sebelum ini. Dengan penuh khusyuk, dia menunaikan solat Maghrib yang pertama sejak dia sampai di Masjidil Haram, tempat letaknya Ka'abah. Kiblat kaum Muslimin untuk menunaikan solat.

Sebaik sahaja selesai, dia berdoa dan terus berdoa agar Allah akan sentiasa memelihara dirinya dan keluarganya di dalam rahmat-Nya. Dia tidak henti-henti berdoa. Air matanya terus mengalir. Sungguh, dia tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkan perasaannya di ketika itu. Semua perasaannya bercampur baur; terharu, gembira, takut, sedih, bahagia... Terasa dirinya begitu kerdil di ketika itu. Tanpa disedarinya, waktu telah berlalu. Kakinya bagaikan tidak mahu melangkah pergi dari situ. Dia berniat untuk terus berada di sana sehingga waktu Isya'. 

Dia baru sahaja mengangkat wajahnya untuk melihat Ka'abah yang tidak jauh ada di hadapannya apabila matanya terlihat kelibat seseorang yang dikenalinya. Dan pada masa yang sama, orang itu memalingkan wajahnya. Sepasang anak mata di wajah itu terus memanah pancaran ke arah anak matanya. Terasa bagaikan tercucuk-cucuk hatinya. 'Ilham?!' hatinya berbisik, terkejut yang teramat sangat. Dia melihat Ilham tersenyum ke arahnya. Dia terus menundukkan wajahnya. Bagaikan tidak percaya Ilham turut berada di situ. Dia memejamkan matanya kuat-kuat. Tidak percaya. Sungguh tidak percaya.

Sebaik sahaja Alia membuka kembali matanya, dia terkejut apabila dia berada di dalam bilik tidurnya sendiri. Dia sedang berbaring di atas katilnya. 'Ya Allah, aku bermimpi rupanya,' bisik hati Alia. Dikesatnya matanya yang terasa basah. Dia menangis di dalam tidur! Dia terus duduk di katilnya. Dilihatnya tangannya yang bergetar. Seluruh tubuhnya terasa gementar. Telapak tangan dan kakinya terasa sejuk. 'Apakah maksud mimpi itu?', bisik hati Alia. Jam dindingnya menunjukkan lima belas minit lagi sebelum waktu Subuh bermula. Dia bingkas bangun menuju ke bilik air.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan