Jumaat, 17 Februari 2012

BAB 24 : 'Coverline'!

"Maaflah Encik Ilham, kami datang sini hajat nak jogging" giliran Alia bersuara. Walau senyuman menghiasi wajah tapi tutur katanya kedengaran begitu sinis. Berharap agar Ilham menangkap maksud yang cuba disampaikannya. Alia tidak berminat untuk 'beramah mesra' saat itu. Lebih-lebih lagi dengan Ilham!

"Samalah" balas Ilham selamba. Masih mengekalkan senyuman yang hampir membengkakkan hati Alia. Alia mula geram kerana kata-katanya yang tidak ada unsur kesopanan itu langsung tidak memberi kesan pada Ilham. Alia menarik nafas sedalam-dalamnya dan melontarkan renungan tajam buat Ilham.

"Kami gerak dulu. Nak hiking" sambung Alia lagi sambil mula mengorak langkah. Diikuti oleh Sofia dengan terpaksa. Senyuman Sofia turut menjadi kelat. Tidak mengerti kenapa perangai Alia berubah seperti itu.

Setahunya Alia adalah seorang yang sentiasa santun dalam berbicara. Sofia berfikir tekun apakah punca sebenarnya yang telah berlaku di antara Alia dan Ilham sehingga Alia melayan Ilham sebegitu rupa. Bagi Sofia,  wajah polos Ilham itu sukar baginya untuk mengkategorikan Ilham untuk masuk dalam kumpulan lelaki jahat. Tapi kenapa?

"Samalah" sahut Ilham lagi tanpa mempedulikan jelingan maut Alia sebentar tadi. Mengekori langkah Alia yang tiba-tiba terhenti kerana mendengar jawapan Ilham. Kerutan di dahi Alia mula mengambil tempat, nampak berlipat-lipat!

"Sof, tiba-tiba aku rasa dah hilang selera nak hiking lah. Aku pergi situ kejap" ujar Alia semakin sinis bunyinya. Rimas dengan sikap Ilham yang tidak makan saman. Lantas mencipta alasan lagi untuk beredar dari sana buat seketika. Seperti selalu!

"Alia nak pergi mana?" soal Ilham dengan teragak-agak. Bukan niatnya mahu membuatkan Alia rimas, cuma dia terhibur melihat reaksi Alia sebegitu. Memang menghairankan namun itulah kenyataannya. Muka masam mencuka Alia itu cukup manis di pandangan Ilham. Tidak perlu sebarang perencah 'secukup rasa'.

"Tandas. Sama jugak ke?!" sindir Alia tegas membuatkan Ilham tergamam. Telan liur. Padan muka! Jerit hati Alia puas hati kerana melihat wajah Ilham yang terkulat-kulat.

***

"Dah dapat balik kau punya selera hiking?" tanya Sofia setelah melihat kelibat Alia yang baru keluar daripada tandas awam yang terdapat di tasek tersebut.

Niat Alia untuk senyum pada Sofia segera terkubur apabila melihat lelaki yang menurut Alia 'perasan hensem' itu ternyata masih setia menanti di sana bersama Sofia. Ilham hanya melirik Alia sambil berlari setempat. Melonggarkan otot-otot yang tegang. Mendamaikan hati yang sedang berperang.

Eee dia ingat dia macho le tu buat macam tu?! Kutuk Alia dalam hati. Segala tindak tanduk Ilham sentiasa tidak pernah ada yang menyenangkan hati Alia. Kenapa? Entahlah!

"I don't think I have any choice. Jom" jawab Alia tanpa mempedulikan renungan Ilham yang penuh berjuta-juta makna itu.

Mereka bertiga kini kembali meneruskan aktiviti yang terbantut sebentar tadi. Sesekali hanya bicara Ilham dan Sofia saja yang kedengaran dengan suara termengah-mengah sedang menaiki pertengahan puncak bukit untuk menuju ke Menara Tasek Lama yang baru saja siap dibina beberapa bulan yang lalu.

Alia hanya membisu sejak tadi. Fikirannya lebih ditumpukan pada misinya ingin menaiki puncak menara tersebut kerana sebelum ini dia hanya mendengar daripada rakan-rakan bahawa pemandangan dari tempat itu cukup menarik. Sebahagian tempat Bandar Seri Begawan dapat dilihat dari tempat itu. Setelah lebih kurang tujuh minit perjalanan, mereka kini berada di puncak tersebut.

Alia begitu teruja saat melihat Menara Tasek Lama berada di depan matanya. Senyuman Alia terukir lebar selebar-lebarnya. Tanpa Alia sedari, Ilham sedang memperhatikannya. Namun renungannya itu terganggu dengan tepukan kuat di bahu kirinya. Ilham menoleh segera.

"Shah! Kau buat apa kat sini?!" soal Ilham separuh terjerit sambil berjabat tangan dengan Shah. Shah Ashaari merupakan teman akrabnya dan sekaligus merangkap sebagai rakan sekerjanya.

"Hiking lah, takkan shopping pulak?" jawab Shah bersahaja dengan soalan tidak masuk akal dari Ilham. Nak buat apa lagi kalau dah berada di situ kalau bukan hiking ataupun joging? Lagi mau tanya.

"Oh, Cik Alia pun ada?" tambah Shah lagi setelah melihat Alia juga turut berada di situ. Seseorang yang selalu menjadi topik perbualannya bersama Ilham tanpa Alia ketahui. Shah kemudian terkedu buat seketika saat melihat renungan tajam Ilham serta wajah penuh tanda tanya Alia. Alamak!

"Ehm, siapa tak kenal anak usahawan terkenal, anak Dato' Haji Yussof kan?" Shah dengan segera mencipta dalih yang kedengaran boleh diterima akal. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata? Memang, memang buruk padahnya kalau tak pandai nak 'coverline'! Anggukan dan senyuman Alia membuatkan Shah dapat menarik nafas lega. Tekniknya ternyata berjaya.

"Panggil Alia je" Alia lebih selesa jika perkataan "cik" itu dibuang daripada pangkal namanya.

"And you are?" soal Shah pula mula mengalih sikit posisi badannya pada seseorang yang hanya memerhatikan perbualan mereka.

"Sofia" jawab Sofia memperkenalkan dirinya. Sofia senyum. Shah senyum. Tak perlu kata apa-apa.

***

"Memang sah dia masih dendam kat aku" komen Ilham. Menghirup perlahan air kelapa yang baru dibeli. Sedang berehat di salah satu bangku yang terletak berdekatan gerai berjual minuman yang terdapat di tasek itu. Alia dan Sofia telah pun pulang beberapa minit yang lalu.

"Dia malu kot? Be positive Ilham" balas Shah cuba berfikiran optimis. Peluh yang memenuhi wajah diseka dengan tuala kecil yang tersangkut di leher.

"Dengan kau bukan main dia ramah tamah. Siap boleh tergelak sakan! Dengan aku, macam tengok rimau! Macamlah aku nak baham dia" ujar Ilham. Ada nada yang berbaur cemburu.

"Take it easy Ilham. Dia perlukan masa agaknya. Salah kau jugak, kenapalah kau suka sangat nak usik dia?" nasihat Shah lagi seolah-olah menyebelahi Alia dalam permasalahan tersebut.

"Entah" jawab Ilham ringkas. Itu saja yang mampu terluah dari mulutnya. Memang dia tidak punya jawapan yang pasti untuk soalan Shah itu. Nak dikatakan hobi? Memang kedengaran melampau. Nak dikatakan tidak sengaja? Memang tak, kerana semua itu memang dilakukan dengan niat!

"Aku tengok kau sejak tadi tak henti-henti senyum ni kenapa?" tanya Ilham hairan. Soalan yang terbuku di hati sejak tadi kini terluah juga.

"Sofia tu comel jugak kan?" jawab Shah. Tersengih. Errrr?

2 ulasan: