Ahad, 12 Februari 2012

BAB 21 : Suratan Atau Kebetulan?

Alia dan Sofia kini berjalan beriringan dengan senyuman tidak luput dari wajah. Rasa gembira terpancar pada raut wajah mereka berdua yang mengenakan mekap ala kadar sahaja. Namun cukup menyerlahkan kejelitaan mereka berdua.

Masing-masing turut mendukung sebungkus hadiah di tangan mereka. Bersaiz agak besar dan kelihatan berat. Setelah menaiki beberapa buah anak tangga yang terdapat di dalam sebuah rumah yang umpama mahligai mini itu, kini Alia dan Sofia berada tepat di hadapan pintu bilik yang tertutup rapat.

Keadaan rumah itu agak riuh, meriah dengan pelbagai macam jenis bunyi-bunyian. Semuanya bergabung menjadi satu, setiap bunyi itu umpama bertarung dan ingin mendapat tempat pertama dalam pertandingan bunyi-bunyian.

Dengan perlahan Alia menguak pintu bilik tersebut. Buat kesekian kalinya keriuhan dalam rumah itu semakin berganda bilangannya. Suara Alia dan Sofia menambahkan lagi kegamatan yang sedia ada. Kedua-duanya begitu kagum, terpukau , teruja dengan kecantikan dan kejelitaan sahabat mereka Nadia yang lengkap mengenakan pakaian pengantin berwarna coklat keemasan.

Ditambah lagi dengan mekap yang begitu kena dengan wajah Nadia, sekata dengan warna baju pengantin yang menghiasi tubuh Nadia yang begitu langsing. Mereka berdua pada mulanya seolah-olah tidak mengenali Nadia. Wajah Nadia dengan mekap itu memang jauh berbeza dengan kebiasaan wajahnya tanpa mekap.

"Aku ingatkan Aishwarya Rai mana yang terlepas kat sini tadi! Cantik betul kau Nadia! Teringin pulak rasanya nak kahwin bila tengok kau cantik macam ni" puji Sofia dengan ikhlas sambil berseloroh.

"Kahwinlah, nak tunggu apa lagi? Nak tunggu anak raja masuk meminang?" balas Nadia geram dengan Sofia yang langsung seperti belum mahu memikirkan soal mencari pasangan hidup. Terlalu sibuk dan menumpukan perhatian pada kerjayanya sahaja. Alia hanya tersengih melihat tingkah kedua sahabatnya itu.

"Kalau anak raja nak kat aku, apa salahnya kan?" ujar Sofia pula membuatkan Nadia bertambah geram lantas menghempas lembut paha Sofia yang duduk di tepinya.

"Kak long, rombongan pengantin lelaki dah sampai!" adik Nadia memaklumkan. Jantung Nadia berdegup pantas. Gementar! Alia dan Sofia tersenyum lebar.

***

Sejak tadi keduanya hanya berbalas pandangan. Serba salah sama ada hendak menghulurkan senyuman atau pun tidak. Sama ada hendak menyapa atau pun tidak. Perhatian Alia kini lebih ditumpukan pada sahabatnya yang cukup kelihatan serasi duduk di atas pelamin yang tersergam indah. Tidak lagi dapat dinafikan bahawa Nadia dan Asri memang pasangan yang cukup sepadan. Sama cantik sama tampan!

"Al, kau kenal ke lelaki yang datang dengan rombongan Asri tu? Aku perasan dari tadi dia asyik pandang kau je.... ada yang berkenan nampak gayanya" soal Sofia separuh berbisik. Penuh tanda tanya sambil menyelitkan usikan buat Alia. Turut melirik pada lelaki yang dimaksudkan, sedang berdiri tidak jauh dari mereka. Namun pandangan mereka agak terbatas kerana keadaan ruang tamu itu dipenuhi dengan ramai orang yang terdiri dari keluarga terdekat dari kedua belah pihak pengantin.

"Ish jangan nak buat lawak. Dia tu anak kawan baik ayah" jelas Alia. Tidak mahu agar Sofia salah faham.

"Kenapa tak pergi tegur?" usul Sofia.

"Malaslah" balas Alia seolah-olah tidak berminat. Namun debaran di dada melemaskan Alia.

"Handsome jugak kan" komen Sofia sambil tersenyum. Melirik Alia penuh makna. Seperti dapat membaca ada sesuatu yang tersirat dalam nada bersahaja Alia.

"Biasa je aku tengok. Kenapa? Kau berkenan ke?" soal Alia pula cuba mengusik Sofia.

"Tak naklah, dia memang handsome tapi aku rasa dia tak sesuai dengan aku. Dengan kau nampak macam secocok pulak! Sumpah aku tak tipu!" jawapan dari Sofia itu mengundang kerutan di dahi Alia. Lantas menyucuk perut Sofia. Hampir terjerit Sofia dibuatnya tapi berjaya dikawal. Jika tidak, pasti Sofia akan menjadi tumpuan utama mereka yang berada di ruang tamu tersebut. Alia tertawa melihat renungan tajam Sofia.

Pun begitu, fikiran Alia ligat memikirkan kebetulan yang berlaku pada waktu itu. Semenjak pertemuan pertamanya dengan Ilham, takdir seolah-olah mempertemukan mereka pada waktu yang langsung tidak diduga. Adakah semua pertemuan itu hanya kebetulan sahaja atau.....

Alia tidak berani untuk berfikir lebih daripada itu. Ah, sudahlah. Dunia ni kecik, boleh jumpa siapa saja dimana-mana. Bisik hati Alia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan