Jumaat, 17 Februari 2012

BAB 23 : Perasan hensem

"Alia Maisara, awak nak ke mana tu?" Kedengaran suara seorang lelaki yang amat dia kenali. Hatinya bergetar. Kenapa lelaki ini ada di sini? Apa dia nak? Alia terus melangkahkan kakinya. Laju. Tidak mahu menoleh ke belakang. Ingin saja dia beredar dari situ secepatnya. Dia tidak mengerti mengapa harus dia terserempak dengan Nazrul.
"Alia!" Alia tidak peduli. Langkahnya semakin cepat. Dia berlari. Dan terus berlari. Tanpa disedarinya, airmatanya mengalir. Dia benci. Mengapa lelaki itu ada di situ? Semakin laju dia berlari, kedengaran semakin dekat pula suara itu. Alia berlari sekuat hatinya. Ingin lari jauh. Sejauh-jauhnya dari lelaki itu.

Tiba-tiba, tubuhnya terlanggar seseorang. Langkah Alia terhenti. Ilham! Alia terkejut melihat Ilham ada di situ. Wajah Ilham kelihatan begitu tenang. Tolong saya. Saya takut. Lelaki tu kejar saya. Tolong saya, Ilham! Ingin saja diluahkan kata-kata itu dari bibirnya namun mulut Alia bagaikan terkunci. Hanya rembesan airmata turun berlumba-lumba di wajahnya. Terasa seluruh tubuhnya bergetar kuat. Memang dia terasa begitu takut. Tiba-tiba, Alia terasa kedua bahunya digenggam kuat. Dilihatnya, tangan Ilham sudah ada di atas kedua bahunya. Ilham hanya tersenyum. Dia merenung wajah Alia. Suara Nazrul bagaikan halilintar yang menakutkan Alia tadi sudah hilang. Tubuh Alia yang tadinya bergetar kuat perlahan-lahan mula terasa tenang. Hatinya tidak terasa takut lagi. Alia merasa selamat melihat Ilham ada di depannya. Mata Ilham direnungnya dalam. Hairan. Mengapa Ilham ada di sini? Ilham mengukir senyuman lagi.

"Al, Alia!" Alia terasa dunianya bagai digoncang kuat. Kedengaran sayup-sayup suara Umi memanggil namanya. 
"Alia, bangun! Kenapa ni?" Alia tiba-tiba tersedar. Uminya sudah berada di tepi katil. Alia terus terbangun dan duduk. Digosok kepalanya yang terasa berdenyut. "Alia, mimpi apa sampai terjerit-jerit minta tolong ni?" Umi yang baru sahaja melangkahkan kaki keluar dari bilik sembahyang terkejut apabila kedengaran suara Alia menjerit dari bilik tidurnya. Alia melihat jam di dinding. Pukul 7:10 malam.
"Umi, Alia tertidur ke?" tanya Alia. Masih samar-samar dengan apa yang baru saja berlaku.
"Al jerit-jerit tadi. Sebab tu Umi bangunkan. Kenapa ni Al? Mimpi apa?" tanya Umi lagi.
"Ah..takde apa-apa Umi. Alia cuma mimpi dikejar harimau saja tadi," sahut Alia. Malas mahu menceritakan. Alia garu kepala. Rambutnya sudah berserabut.
"Harimau? Kenapa harimau? Itulah Alia. Tidur waktu Maghrib. Ah, tengok? Jam berapa sekarang?" leter Umi. Harimau? Apalah kau ni Alia! Takde alasan lain ke? Bisik hati Alia. Percuma dia dileter Umi malam-malam begini.
"Alia tengok National Geographic tadi Umi. Pasal harimau" jawab Alia lagi.
"Ah, dah lah tu. Pergi mandi. Alia belum sembahyang kan? Ah, lepas sembahyang terus ke dapur. Umi dan ayah tunggu. Kita makan sama-sama," arah Umi pada Alia. Alia bingkas bangun. Mimpi itu masih bermain di mindanya.

***
Tubuhnya sudah mula berpeluh. Baru lima belas minit dia jogging. Ilham mula memperlahankan langkah kakinya. Dia berhenti betul-betul di hadapan air terjun. Hanya berdiri di situ, menyaksikan pergerakan air terjun. Alangkah tenangnya. Suasana Tasek Lama pada petang itu agak lengang sedikit. Cuaca petang itu amat mengizinkan. Tidak menampakkan sebarang tanda-tanda hujan. Kelihatan beberapa orang anak kecil sedang bermain di kawasan permainan. Begitu riang lagak mereka. Tidak jauh dari situ, bangku-bangku yang disediakan telah dipergunakan sepenuhnya oleh orang tua dan penjaga anak-anak kecil itu untuk memerhatikan mereka. Tidak kurang juga yang sama-sama menyertai anak-anak mereka bermain.

Tasek Lama merupakan salah satu tempat beriadah yang telah diusahakan oleh kerajaan untuk menggalakkan aktiviti sihat di kalangan rakyat dan penduduk di kawasan bandar. Pelbagai kemudahan telah pun disediakan di kawasan itu termasuk jogging track, anak-anak tangga, rock climbing, pondok berehat dan juga taman mini permainan untuk kanak-kanak. Memang sesuai untuk aktiviti riadah.

Ilham melihat jam tangannya. Pukul 5:15 petang. Ah, masih awal. Bisik hatinya. Sudah lama dia tidak bersukan. Sejak dia sibuk dengan urusan perniagaan ayahnya, Ilham tidak mempunyai masa untuk beriadah. Dulu sewaktu masih di universiti, setiap hari selepas kuliah, Ilham dan rakan-rakannya sentiasa meluangkan masa untuk beriadah. Tidak kiralah apa yang mereka buat. Jogging, hiking, bermain bolasepak, futsal, badminton dan apa sahaja yang terlintas di fikiran. Yang penting, aktiviti sukan wajib ada di dalam jadual harian.

Ilham menyambung kembali joggingnya. Dia ingin menghilangkan stress yang ada di dalam kepalanya. Mesyuarat yang dihadiri petang itu tidak begitu produktif. Ada-ada sahaja laporan yang tidak memuaskan hati dari klien-klien syarikat ayahnya. Ah! Sudahlah Ilham. Nanti malam boleh bincang dengan ayah tentang hal itu. Ilham berbahas sendiri di dalam hatinya. Dia meneruskan joggingnya. 

***

Fikirannya menerawang memikirkan mimpi semalam. Apa maksud mimpi itu? Nazrul? Mengapa dia? Ilham juga. Bagaimana kedua lelaki itu boleh masuk ke dalam mimpinya? Otaknya ligat memikirkan. Alia melangkahkan kakinya perlahan. Dia sedang menunggu Sofia. Mereka sudah berjanji untuk hiking bersama pada petang itu. Alia perlahan-lahan menuju ke kawasan air terjun. Tempat kegemarannya. Alia duduk di kawasan lapang yang tersedia sambil menyaksikan beberapa orang remaja yang baru saja memulakan aktiviti rock climbing. Hatinya terhibur melihat aksi gelagat mereka yang masing-masing mencabar sesama sendiri. Terlupa sebentar tentang mimpinya.

"Alia! Sorry lah aku terlambat!" kedengaran suara Sofia di belakangnya diikuti dengan satu tepukan mesra di bahunya. Alia lantas menoleh ke belakang dan mendapati Sofia sudah tercungap-cungap.
"Hah, mengapa lambat?" tanya Alia. Geram dengan rakannya itu. Di cubitnya pinggang Sofia.
"Ow! Al! Kan aku cakap sorry!" rungut Sofia. Alia hanya tertawa.
"Jom! Aku ada story ni," sahut Alia. Niat di hati ingin menceritakan mimpi semalam kepada Sofia. Mereka baru sahaja mula melangkahkan kaki menuruni anak-anak tangga di situ apabila mata Alia tersangkut pada susuk tubuh yang dikenalinya. Langkah Alia terkaku. 

***
Ilham terkejut apabila melihat dua orang gadis yang berdiri beberapa meter di hadapannya. Hati Ilham berdetak kencang. Langkah Ilham mula perlahan. Tanpa disedari, Ilham pantas mengukir senyuman. Kelihatan Alia bagaikan ingin segera beredar dari situ. Namun, Sofia tidak berganjak. Malah hanya tersenyum memandang Ilham. Lelaki itu mula menghampiri mereka berdua.
"Hai, macam berjanji lah pulak," Sofia memulakan bicara.
"Hahaha...mungkin awak yang mimpikan saya sebab tu saya ada di sini," balas Ilham. Lancar saja tutur katanya. Dia tersenyum lagi lantas mengalihkan pandangannya ke Alia. Wajah Alia terasa panas. Memang wajah engkaulah yang menyibuk kat dalam mimpi aku semalam! Menyampah betul muka dia ni. Perasan hensem!

1 ulasan: