Isnin, 13 Februari 2012

BAB 22 : Alia Maisara .....

"Alamak Al, dia dah datang" ujar Sofia memaklumkan pada Alia apabila melihat Ilham mula menghampiri mereka. Alia berlagak tenang. Tapi dalam hati, tiba-tiba bergetar kencang.

"Assalamu'alaikum Alia?" sapa Ilham sambil menguntum senyuman menampakkan lekuk lesung pipit di wajah.

"Wa'alaikumsalam" sahut Alia selamba. Hanya menghulurkan senyuman segaris. Sekadar mahu menunjukkan adab dan sopan. Kalau diikutkan hati, pasti akan dibiarkan saja Ilham berdiri seperti tunggul kayu di situ. Melihat wajah Ilham saat itu mengingatkannya detik-detik malang yang selalu berlaku setiap kali pertemuan mereka. Berharap agar hari itu nasib baik akan menyebelahi dirinya.

"Relative?" soal Ilham sambil mengisyaratkan tangannya pada Nadia.

"Bestfriends. Kenalkan, Sofia" jawab Alia sambil memperkenalkan Sofia pada Ilham. Pandangan Ilham kini tertumpu pula pada Sofia yang mula mengukir senyuman.

"Ilham, Ilham Ishak" Ilham memperkenalkan dirinya pada Sofia. Dan secara tidak langsung, jawapan Ilham itu telah memberi maklumat tambahan pada Alia tentang nama penuh sebenar Ilham. Informasi yang langsung tidak pernah mahu Alia ketahui sebelum ini. Lebih kepada tidak berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang lelaki itu. Namun dalam diam, Alia sebetulnya tertarik dengan nama penuh Ilham. Hanya tertarik pada nama, bukan orangnya. Bisik hati Alia cuba meyakinkan perasaannya sendiri.

"Apa hubungan awak dengan Asri? Sepupu ke?" giliran Sofia pula bertanya.

"Oh tak, sama" jawab Ilham ringkas. Mengundang kerutan di dahi Sofia dan Alia. Tidak faham.

"Kawan jugak. Asri tu kawan baik saya" tambah Ilham lagi setelah menyedari bahawa jawapannya itu seperti kurang lengkap. Mungkin bukannya kurang lengkap, hanya segelintir jenis manusia sahaja yang mungkin akan mengerti gaya bahasanya.

"I see, samalah jugak macam awak dengan Alia? Kawan?" soal Sofia berbaur usikan dengan senyuman yang nakal. Alia menahan perasaan. Ingin saja Alia menyucuk perut Sofia sekali lagi pada saat itu tapi keadaan tidak mengizinkan. Berlagak tenang adalah tindakan yang terbaik bagi Alia.

"Up to her. Right cik Alia?" usik Ilham pula. Alia tersenyum kelat. Pahit!

"Sof, dah lewat dah ni. Marilah kita minta diri dengan Nadia dulu" tiada pilihan, Alia mencipta alasan. Dia perlu segera melarikan diri daripada meneruskan perbualan dengan Ilham. Sungguh dia berasa tidak selesa. Senyuman Ilham itu sukar bagi Alia untuk mentafsirkannya.

"Maaf encik Ilham, kami gerak dulu" kata-kata terakhir daripada Alia sebelum meninggalkan Ilham tanpa menanti jawapan daripada Ilham. Tangan Sofia juga turut ditarik sebagai isyarat agar mereka segera beredar dari situ.

"Alia Maisara...." panggil Ilham. Langkah Alia terhenti, berpaling dengan perlahan. Nama itu adalah miliknya, tidak mungkin Ilham memanggil orang lain selain daripada dirinya. Alia Maisara, begitu jarang orang lain memanggilnya dengan nama penuh itu. Nazrul juga tidak pernah memanggilnya seperti itu.

"Harap dapat jumpa awak lagi nanti" luah Ilham dengan begitu jujur. Itulah harapannya agar dapat bertemu dengan Alia lagi dan lagi dan lagi.

"Tak janji" balas Alia ringkas dengan senyuman yang terpaksa. Kembali mengatur langkah, meninggalkan Ilham. Alia berserah pada takdir. Biarlah takdir yang mempertemukan mereka lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan