Jumaat, 10 Ogos 2012

....Persoalan....

Kedua tapak tangan menongkat dagu. Jendela bilik telah dibuka seluas-luasnya. Nafas ditarik sedalam-dalamnya, mata dipejam rapat, senyuman mula terukir dan tampak semakin melebar. Ya Allah, begitu indah bumi dan langit ciptaanMu ini. Bisik hatinya memuji kehebatan sang pencipta. Memang tenang sungguh perasaannya. Lebih-lebih lagi setelah selesai menjalankan kewajipan solat subuh. Terlalu banyak yang "dibicarakannya" di dalam doa seusai solat tadi. Sungguh tidak terasa, dia kini ternyata telah berada di bulan Ramadhan, hari pertama mula berpuasa. Bulan yang penuh ketenangan dan kerahmatan. Patutlah kedamaian yang dirasakan semakin berganda bilangannya.


Kelopak mata yang tadi dipejam rapat kini dibuka dengan perlahan. Waktu seperti itu memang adalah antara waktu yang membuatkan perasaan Alia sentiasa damai. Masih jelas kelihatan butiran bintang-bintang menghiasi langit ciptaan Illahi . Udara yang dihirup juga terasa cukup segar. Alia menanti sang mentari yang masih belum mahu menampakkan dirinya kerana belum tiba masanya lagi. Itulah peraturan sang pencipta, semuanya berlaku pada kiraan yang cukup tepat. Alia sedar memang dia tidak mampu untuk melajukan peredaran matahari untuk segera terbit dari ufuk. Mustahil!


Menanti dan terus menanti, langit mula bertukar wajah. Senyuman Alia semakin bercambah. Langit yang gelap tadi mula melakar warna yang berbeza umpama ada yang telah menumpahkan cat air yang telah diadun dengan beberapa warna yang cukup sempurna. Ada merah, oren, biru, putih, tampak indah! Cahaya dari ufuk timur kini mula kelihatan. Alia semakin teruja kerana sudah lama dia tidak menghayati keindahan matahari terbit. 


Dalam Alia menikmati permandangan yang cukup indah itu, fikiran Alia tiba-tiba teringatkan seseorang tanpa dipinta. Jantung pula mula berlari pecut. Alia lemas! Alia hairan kenapa nama dan wajah itu pula yang kini memenuhi kotak fikirannya. Kenapa aku nak ingat dia pulak ni? Macamlah dia ingat aku? Alia berbahas dengan pendapatnya sendiri. Namun dalam masa yang sama, dia teringat satu ceramah motivasi yang pernah ditontonnya. Otak manusia mampu menghasilkan gelombang yang boleh disambung terus pada otak manusia yang lain. Seperti sekiranya ada seseorang yang mula teringat pada seseorang, pasti orang yang diingatkan itu juga turut dapat merasakan. Ehm, takkan dia ingat kat aku? Ah! sudahlah Al! Alia berhenti membuat andaian, bukan mahu menafikan teori tersebut tetapi dia cuma tidak mahu terlalu mengikutkan perasaan.


Alia akui semenjak kebelakangan ini, Ilham telah masuk dalam perjalanan hidupnya tanpa diundang. Ya! Ilham! Memang nama itu sejak tadi yang berlegar di kotak fikiran Alia. Apakah mungkin kerana pertemuan singkat yang tidak disengajakan yang berlaku pada beberapa hari lepas? Pertemuan yang secara tidak langsung. Bukan pertemuan empat mata, pertemuan dari kejauhan. Pertemuan yang semakin mengundang tanda tanya di benak Alia. Cukuplah hatinya meronta-ronta ingin tahu apa sebenarnya yang telah dibualkan oleh Ilham dengan ayahnya, ditambah lagi dengan kejadian yang berlaku beberapa hari lepas itu semakin membuatkan Alia curiga.

Alia telah terserempak Ilham telah makan tengahari pada salah sebuah restoran yang berdekatan dengan ofis tempatnya bekerja. Bukan makan tengahari itu yang menjadi persoalan, tetapi adalah kemunculan Sofia bersama Ilham! Mungkinkah mereka............ Cukup Al! Semua ni takde kena-mengena dengan kau. Alia semakin keliru dengan perasaannya saat itu. Dia tidak mengerti 'cara' Ilham. 


Tanpa disedari, ternyata si mentari sudah melepasi diri dari ufuk timur, menerangi alam. Sekaligus Alia tersedar kembali ke dunia nyata. Alia kembali tersenyum dan hatinya turut terubat dengan sendiri. Dia tidak mahu kerana hal seperti itu mengganggu ibadah puasanya yang baru saja bermula. Yang penting saat itu, Alia mahu menumpukan seluruh waktunya untuk mencari sebuah ketenangan dan keredhaan dari Allah. Apa yang berlaku nanti, Alia hanya mampu berserah.





Sabtu, 14 Julai 2012

Bab 30 : Alia's Dad

Masih terngiang-ngiang di telinga Ilham perbualannya dengan ayah Alia tempoh hari. Entah mengapa hatinya bagaikan digaru-garu ingin menelefon Alia waktu itu. Dia teringat kembali apa yang telah terjadi pada hari itu. 
                                                                          *****
Ilham bagaikan tidak fokus. Pen masih ditangannya. Diketuk-ketuk hujung pen itu di mejanya yang penuh dengan kertas dan fail. Dilihatnya handphone yang terletak kemas di sudut kanan meja. 'Should I, should I not?' bisik hati Ilham. Ingin menghubungi Alia tapi... Setelah berfikir sejenak, dia mengambil keputusan untuk menelefon Alia. Dicapainya handphone dan terus mencari nama Alia. Dia tersenyum sendiri sambil mendengar bunyi ringing di hujung talian sebelah sana. 'Thanks Sofia,' hatinya berbisik lagi. Gembira kerana Sofia telah memberinya nombor telefon Alia tempoh hari.

"Assalamualaikum," Ilham terus memberi salam sebaik saja terdengar bunyi panggilannya dijawab. Senyumannya begitu lebar dan hatinya berbunga-bunga.
"Waalaikumussalam," jawab satu suara. Tiba-tiba saja senyuman Ilham terus hilang. Bunga di hatinya turut kuncup. 'Eh? Kenapa suara lelaki?'
"Oh..Nak Ilham... Apa khabar?" kedengaran suara ayah Alia.
"Eh, Pak Cik...Alhamdulillah, sihat Pak Cik," jawab Ilham. Hairan. Dia lantas melihat nombor yang di dailnya tadi. Alia's dad. 'Hah! Padan muka kau Ilham!' hatinya menggerutu.
"Kenapa telefon ni Ilham? Ada apa-apa ke?" tanya Haji Yusof lagi. Hairan apabila Ilham menelefonnya di awal pagi. Baru saja jam lapan setengah. 
"Tak...tak ada apa-apa Pak Cik. Saja...nak tanya khabar. Pak Cik sihat?" Ilham menggaru kepalanya.
"Alhamdulillah...sihat..." sahut Haji Yusof.
"Err...Alia?" lancar saja nama itu keluar dari mulutnya. Ilham terus menggigit bibirnya. 'Adui, Ilham Ilham. Habis lah kau' bisik hatinya lagi.
"Alia pun sihat. Dia baru saja keluar rumah tadi," jawab Haji Yusof. Masih hairan.
"Er...ok lah Pak Cik. Terima kasih. Kirim salam Alia ya Pak Cik. Saya nak sambung buat kerja lagi. Banyak sangat proposal yang perlu diperiksa lagi ni. Assalamualaikum," jawab Ilham. Tangannya sudah mulai terasa sejuk. Wajahnya terasa hangat. Malu.
"Waalaikumussalam," kedengaran suara Haji Yusof di hujung talian. Ilham terdiam. Terpaku di kerusinya. Dia lalu tertawa sendiri. Tertawa besar tidak berhenti sehinggakan pintu biliknya dibuka mengejut dari luar. 

"Encik Ilham ok ke?" tanya setiausahanya, Mona, dengan wajah bimbang. Mona terkejut apabila terdengar suara besar Ilham dari luar. Ketawa tidak berhenti. Macam orang tak tentu arah. 
"Tak apa-apa Mona. Saya ok. Just go continue with your work," jawab Ilham sambil mengesat airmata yang mengalir dek ketawa terlalu lama. Dia masih lagi ketawa. Mona berlalu pergi meninggalkan bilik pejabat bosnya itu dengan perasaan yang bercampur-baur. 'Gila ke bos aku ni?' bisk hati Mona. Belum pun sempat dia menutup pintu, Ilham memanggilnya.
"Mona, esok petang, schedule saya penuh tak?" tanya Ilham. Wajahnya serius kini. 
"Esok petang Encik free. Tak ada meeting, tak ada jumpa client. Free," jawab Mona. Dia merenung wajah Ilham yang kini terhias dengan senyuman. Dilihatnya Ilham bagaikan memikirkan sesuatu.
"Ok, thanks Mona. You can go now," jawab Ilham. Sambil melihat setiausahanya keluar dan menutup pintu perlahan-lahan, Ilham tersenyum lagi. Dia merancang sesuatu.
                                                                            
                                                                    *****
Dan hari ini, dia akan pastikan rancangannya itu berjaya. Terasa jari-jemarinya sejuk. Hatinya berdegup kencang. Menanti dan terus menanti kelibat yang diharapkannya akan datang melangkah di pintu restoran itu. Ilham terasa susah untuk duduk diam. Dilihatnya sekeliling. Hanya sepertiga dari restoran itu yang berisi. Selebihnya, kosong. Tidak ada pelanggan. Biasalah, pertengahan bulan. Tidak lama kemudian, kelihatan susuk tubuh yang ditunggunya sudah berada di depan pintu restoran. Ilham berdiri dan terus tersenyum apabila orang yang ditunggunya telah tiba.

Khamis, 3 Mei 2012

Bab 29 : Aku Ingin Tahu

Jendela kereta yang basah dengan titisan air hujan itu direnung dengan penuh tekun. Pemandangan di luar agak terbatas. Pun begitu, mindanya langsung tida berada di situ. Mimpi semalam masih bermain di fikiran seolah-olah semuanya diulang tayang berulang-ulang kali. Mimpi yang seakan benar, kenapa lelaki itu perlu muncul lagi di dalam mimpinya. Kali ini lebih meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati Alia. Bukan hanya kerana kemunculan Ilham dalam mimpinya, tapi juga kerana rindunya pada tanah suci itu. Terasa hatinya seperti digamit sekali lagi untuk berkunjung ke situ. Tanpa disedari, air hangat mula jatuh ke pipi.


"Alia, kenapa diam dari tadi ni? Alia ok?" suara ibu Alia menyentakkan lamunan Alia. Mujur air mata yang baru jatuh itu tidak dilihat oleh ibunya. Ayahnya yang masih meneruskan pemanduan kereta itu hanya melirik Alia melalui cermin di dashboard. Tahap kelajuan kereta juga turut dikurangkan kerana keadaan jalan raya yang agak licin. Keselamatan harus diberi keutamaan.


"Takde apa-apa umi, Alia cuma penat sikit" jawab Alia lemah lantas menyeka air matanya sebelum menyandarkan kembali tubuhnya.


"Ilham apa khabar?" soalan daripada ibunya itu membuat kerutan di dahi Alia jelas kelihatan. Jantungnya juga turut berdegup laju tanpa dipinta. KENAPA?! Kenapa soalan itu? Kenapa nama itu yang keluar dari mulut ibunya? Sungguh rawak! Atau adakah ibunya punya kuasa 'psychic' boleh membaca mindanya? Tak mungkin!


"Kenapa umi tanya pasal dia? Bukannya Al rapat dengan dia pun, kawan pun bukan" tanya Alia sambil mengeluarkan hujah-hujahnya. Memang soalan itu dirasakan langsung tidak relevant bagi Alia.


"Umi saja tanya, hari tu dia ada telefon papa kamu ni tanya pasal Al. Ye tak bang?" jawab ibu Alia. Melirik dan tersenyum pada suaminya di sebelah yang menumpukan perhatian pada pemanduan kereta.


"Ehm" balas ayah Alia pendek. Membalas senyuman ibu Alia dengan penuh makna yang tersirat yang membuatkan hati Alia dipagut dengan sejuta macam persoalan.


"Dia tanya apa?" salah satu soalan diantara sejuta soalan yang bermain di benak Alia sudah diutarakan.

"Nak tahu ke?" soal ayah Alia pula seperti main tarik tali lagaknya. Menduga perasaan Alia buat kesekian kalinya.

"Papa ni nak main teka-teki dengan Al pulak" komen Alia namun masih mengawal nada suara agar tidak kedengaran bahawa dirinya betul-betul ingin tahu perbualan telefon yang berlaku diantara Ilham dan ayahnya!

"Salah ke soalan papa..... Al nak tau ke tak?" ayah Alia masih ingin menguji kesungguhan anaknya. Ibu Alia hanya berdiam diri melihat gelagat dua beranak itu.

"Tak payahlah. Tak penting sangat pun" balas Alia akhirnya seolah-olah langsung tidak menunjukkan minat sama sekali. Tapi dalam hati........ Argggh!!!

"Takpelah kalau macam tu. Dah orang cakap tak penting" jawapan daripada ayahnya itu cukup membuatkan jiwa Alia semakin meronta-ronta ingin tahu! Tapi, sudahlah! Alia bungkam. Diam sepanjang perjalanan.

Sabtu, 31 Mac 2012

Bab 28 : Bertemu Ilham Di Sana

Suasana di sekelilingnya begitu tenang dan damai. Hatinya juga terasa sayu. Dia sampai. Ya, akhirnya dia sampai di sini. Air matanya mengalir tatkala melihat bangunan Ka'abah yang tersergam indah di hadapannya. Hatinya bermunajat tidak berhenti. Mulutnya terkumat-kamit memuji Allah. Seluruh tubuhnya bergetar kerana tidak tahan dengan perasaan yang menyelubungi dirinya di ketika itu. Kakinya terus melangkah perlahan di dataran Ka'abah yang dipenuhi oleh jemaah yang mempunyai niat yang sama ke sana. Air matanya mengalir lagi. Hatinya terasa begitu sayu. Sungguh-sungguh tersentuh. Allah telah memberinya peluang untuk ke sini. Bagaikan tidak percaya dia sudah pun berada di situ. Niat untuk menunaikan Umrah pada tahun itu telah dikabulkan. Alhamdulillah...

Tidak lama kemudian, kedengaran laungan azan untuk menunaikan solat fardhu Maghrib bergema di seluruh kawasan itu. Dia menyertai jemaah yang hadir untuk menunaikan solat. Di dalam hatinya, tidak putus-putus berdoa untuk meraih kasih sayang Ilahi dan mohon diampunkan segala dosa yang pernah dilakukannya sebelum ini. Dengan penuh khusyuk, dia menunaikan solat Maghrib yang pertama sejak dia sampai di Masjidil Haram, tempat letaknya Ka'abah. Kiblat kaum Muslimin untuk menunaikan solat.

Sebaik sahaja selesai, dia berdoa dan terus berdoa agar Allah akan sentiasa memelihara dirinya dan keluarganya di dalam rahmat-Nya. Dia tidak henti-henti berdoa. Air matanya terus mengalir. Sungguh, dia tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkan perasaannya di ketika itu. Semua perasaannya bercampur baur; terharu, gembira, takut, sedih, bahagia... Terasa dirinya begitu kerdil di ketika itu. Tanpa disedarinya, waktu telah berlalu. Kakinya bagaikan tidak mahu melangkah pergi dari situ. Dia berniat untuk terus berada di sana sehingga waktu Isya'. 

Dia baru sahaja mengangkat wajahnya untuk melihat Ka'abah yang tidak jauh ada di hadapannya apabila matanya terlihat kelibat seseorang yang dikenalinya. Dan pada masa yang sama, orang itu memalingkan wajahnya. Sepasang anak mata di wajah itu terus memanah pancaran ke arah anak matanya. Terasa bagaikan tercucuk-cucuk hatinya. 'Ilham?!' hatinya berbisik, terkejut yang teramat sangat. Dia melihat Ilham tersenyum ke arahnya. Dia terus menundukkan wajahnya. Bagaikan tidak percaya Ilham turut berada di situ. Dia memejamkan matanya kuat-kuat. Tidak percaya. Sungguh tidak percaya.

Sebaik sahaja Alia membuka kembali matanya, dia terkejut apabila dia berada di dalam bilik tidurnya sendiri. Dia sedang berbaring di atas katilnya. 'Ya Allah, aku bermimpi rupanya,' bisik hati Alia. Dikesatnya matanya yang terasa basah. Dia menangis di dalam tidur! Dia terus duduk di katilnya. Dilihatnya tangannya yang bergetar. Seluruh tubuhnya terasa gementar. Telapak tangan dan kakinya terasa sejuk. 'Apakah maksud mimpi itu?', bisik hati Alia. Jam dindingnya menunjukkan lima belas minit lagi sebelum waktu Subuh bermula. Dia bingkas bangun menuju ke bilik air.


Jumaat, 9 Mac 2012

Bab 27 : Makan HaTi

Andai dia dapat mengundur waktu, Alia pasti dengan semuktamad-muktamadnya yang dia akan merubah keputusannya untuk tidak bersetuju menemani Sofia berjumpa dengan Ilham di situ. Memang membuatkan Alia cukup makan hati berulam jantung bercicahkan sambal belacan terlebih cili!

Alia cuba mengawal riak wajah agar tidak nampak begitu tegang. Dalam hati semakin membengkak. Alia juga tidak pasti kenapa perlu dia berperasaan sebegitu. Dia sedar yang dia tidak patut berperasaan sebegitu! Tapi apalah dayanya, bukankah perasaan itu sesuatu yang sukar untuk dikawal kalau tak cukup ilmu di dada.

Disebabkan itu jugalah Alia sikit demi sedikit cuba memujuk hatinya sendiri yang sedang berperang dengan suasana yang cukup menduga perasaan kerana melihat kemesraan dan keakraban Ilham dan Sofia. Shah juga tampak lebih menumpukan perhatian pada Sofia walau ternyata Shah saat itu sedang duduk tepat di hadapannya. Alia terasa bahawa kewujudannya di situ seolah-olah tidak memberi apa-apa makna bagi Ilham. Tapi kenapa pula kehadiranku perlu memberi makna pada Ilham? Alia cuba berbahas dengan kata hati sendiri.

Argh! This is insane! Jerit hati Alia buat kesekian kalinya.

"Sof, aku lupalah yang aku janji dengan mak nak teman dia pergi shopping tengahari ni. Aku balik dulu okay?" akhirnya Alia mencipta alasan untuk segera beredar dari tempat itu. Keadaan itu cukup melemaskannya. Berundur diri adalah pilihan yang terbaik saat itu daripada membiarkan hatinya terkeluar daripada jasad kerana setiap detik berlalu hatinya semakin membengkak!

"Ala ye ke? Habis tu kau nak balik naik apa? Kan kita tadi guna kereta aku" tanya Sofia kedengaran hampa tapi jauh di sudut hati, jiwa Sofia tersenyum melihat perubahan Alia yang cuma dia sendiri yang menyedarinya kerana dia cukup mengenali Alia. Sofia tahu bahawa Alia berbohong.

"Takpe aku boleh call Pak Aziz tolong jemput aku" Alia tersenyum. Senyuman plastik. Langsung tidak mahu memandang Ilham yang ternyata sedang merenungnya.

"Let me accompany you to the main entrance" ujar Ilham pula membuatkan perasaan Alia jadi tidak keruan.

"Thanks but no thanks" Alia tidak perlukan bantuan lelaki itu! Alia tidak sudi! Sedarkah lelaki itu yang dialah punca mood Alia bertukar cuaca!

"That's not a permission cik Alia. Come" seperti biasa, lagak Ilham yang tidak makan saman itu membuatkan Alia geram tidak terkata. Tapi........

Tanpa menanti jawapan balas daripada Alia, Ilham sudah pun berdiri daripada kerusinya dan Alia tidak punya  pilihan lagi.


***

Alia dan Ilham kini masih setia menanti Pak Aziz, pemandu Alia. Menanti di ruangan luar pintu utama bangunan "The Mall" tersebut bertemankan kebisuan. Masing-masing tidak mahu memulakan bicara. Ilham mahu agar Alia yang memulakan cakap terlebih dahulu. Tetapi Alia, dalam keadaan seperti itu, memang seleranya untuk berbual terus mati. Lebih-lebih lagi keadaan sekeliling yang dipenuhi oleh beberapa kumpulan remaja yang melepak di sana memang menyakitkan kepala. Dengan cara berpakaian mereka yang langsung tidak menunjukkan budaya timur. Cara percakapan mereka juga tidak beradab. Alia beristighfar sebanyak-banyaknya melihat keruntuhan akhlak segelintir remaja di zaman ini.

"Woot woot cik kak cantik" salah seorang remaja lelaki menegur Alia sambil bersiul-siul. Berseluar ketat berwarna kuning dan baju berukir tengkorak. Ditambah lagi dengan rambutnya yang diwarna dengan warna merah itu cukup membuatkan Ilham merenung tajam pada budak lelaki tersebut.

"Siapa kakak kau? Bila masa dia kawin dengan abang kau?" tegur Ilham kedengaran keras. Alia telan liur melihat ketegasan Ilham yang belum pernah dilihatnya. Tegas yang memang bertempat. Alia cukup terasa dilindungi.

"Releks lah bro. Orang cuma tegur je" jawab budak lelaki itu kelihatan agak kecut dengan ucapan Ilham.

"Tegur elok-elok. Jaga adab sopan tu. Hormat sikit orang tua" balas Ilham masih dengan tonasi yang sama sambil menyelitkan nasihat yang amat berharga buat para remaja yang berkelakuan kurang adab seperti mereka. Nak ganggu Alia aku, agak-agaklah!

"Kita chow lah geng, kat sini ada abang yang nak bagi ceramah. Kita cari port lain" budak lelaki itu sempat membalas kata-kata Ilham sebelum pergi meninggalkan Ilham dan Alia. Tidak berani membuat kecoh kerana di sana terdapat beberapa orang abang-abang pengawal keselamatan sedang bertugas.Alia lega. Hendak tersenyum tapi cuma disimpan.

"Pak Aziz dah sampai. Thanks" ujar Alia dan dengan perlahan mula mengatur langkah.

"Alia" panggil Ilham.

"Kirim salam kat mak ayah....." tambah Ilham dengan senyuman yang ikhlas. Alia hanya mengangguk lantas tanpa berlengah terus memasuki perut kereta. Senyuman Ilham masih berbekas walau kereta yang dinaiki Alia sudah beberapa kilometer jauh meninggalkannya.