Jumaat, 10 Ogos 2012

....Persoalan....

Kedua tapak tangan menongkat dagu. Jendela bilik telah dibuka seluas-luasnya. Nafas ditarik sedalam-dalamnya, mata dipejam rapat, senyuman mula terukir dan tampak semakin melebar. Ya Allah, begitu indah bumi dan langit ciptaanMu ini. Bisik hatinya memuji kehebatan sang pencipta. Memang tenang sungguh perasaannya. Lebih-lebih lagi setelah selesai menjalankan kewajipan solat subuh. Terlalu banyak yang "dibicarakannya" di dalam doa seusai solat tadi. Sungguh tidak terasa, dia kini ternyata telah berada di bulan Ramadhan, hari pertama mula berpuasa. Bulan yang penuh ketenangan dan kerahmatan. Patutlah kedamaian yang dirasakan semakin berganda bilangannya.


Kelopak mata yang tadi dipejam rapat kini dibuka dengan perlahan. Waktu seperti itu memang adalah antara waktu yang membuatkan perasaan Alia sentiasa damai. Masih jelas kelihatan butiran bintang-bintang menghiasi langit ciptaan Illahi . Udara yang dihirup juga terasa cukup segar. Alia menanti sang mentari yang masih belum mahu menampakkan dirinya kerana belum tiba masanya lagi. Itulah peraturan sang pencipta, semuanya berlaku pada kiraan yang cukup tepat. Alia sedar memang dia tidak mampu untuk melajukan peredaran matahari untuk segera terbit dari ufuk. Mustahil!


Menanti dan terus menanti, langit mula bertukar wajah. Senyuman Alia semakin bercambah. Langit yang gelap tadi mula melakar warna yang berbeza umpama ada yang telah menumpahkan cat air yang telah diadun dengan beberapa warna yang cukup sempurna. Ada merah, oren, biru, putih, tampak indah! Cahaya dari ufuk timur kini mula kelihatan. Alia semakin teruja kerana sudah lama dia tidak menghayati keindahan matahari terbit. 


Dalam Alia menikmati permandangan yang cukup indah itu, fikiran Alia tiba-tiba teringatkan seseorang tanpa dipinta. Jantung pula mula berlari pecut. Alia lemas! Alia hairan kenapa nama dan wajah itu pula yang kini memenuhi kotak fikirannya. Kenapa aku nak ingat dia pulak ni? Macamlah dia ingat aku? Alia berbahas dengan pendapatnya sendiri. Namun dalam masa yang sama, dia teringat satu ceramah motivasi yang pernah ditontonnya. Otak manusia mampu menghasilkan gelombang yang boleh disambung terus pada otak manusia yang lain. Seperti sekiranya ada seseorang yang mula teringat pada seseorang, pasti orang yang diingatkan itu juga turut dapat merasakan. Ehm, takkan dia ingat kat aku? Ah! sudahlah Al! Alia berhenti membuat andaian, bukan mahu menafikan teori tersebut tetapi dia cuma tidak mahu terlalu mengikutkan perasaan.


Alia akui semenjak kebelakangan ini, Ilham telah masuk dalam perjalanan hidupnya tanpa diundang. Ya! Ilham! Memang nama itu sejak tadi yang berlegar di kotak fikiran Alia. Apakah mungkin kerana pertemuan singkat yang tidak disengajakan yang berlaku pada beberapa hari lepas? Pertemuan yang secara tidak langsung. Bukan pertemuan empat mata, pertemuan dari kejauhan. Pertemuan yang semakin mengundang tanda tanya di benak Alia. Cukuplah hatinya meronta-ronta ingin tahu apa sebenarnya yang telah dibualkan oleh Ilham dengan ayahnya, ditambah lagi dengan kejadian yang berlaku beberapa hari lepas itu semakin membuatkan Alia curiga.

Alia telah terserempak Ilham telah makan tengahari pada salah sebuah restoran yang berdekatan dengan ofis tempatnya bekerja. Bukan makan tengahari itu yang menjadi persoalan, tetapi adalah kemunculan Sofia bersama Ilham! Mungkinkah mereka............ Cukup Al! Semua ni takde kena-mengena dengan kau. Alia semakin keliru dengan perasaannya saat itu. Dia tidak mengerti 'cara' Ilham. 


Tanpa disedari, ternyata si mentari sudah melepasi diri dari ufuk timur, menerangi alam. Sekaligus Alia tersedar kembali ke dunia nyata. Alia kembali tersenyum dan hatinya turut terubat dengan sendiri. Dia tidak mahu kerana hal seperti itu mengganggu ibadah puasanya yang baru saja bermula. Yang penting saat itu, Alia mahu menumpukan seluruh waktunya untuk mencari sebuah ketenangan dan keredhaan dari Allah. Apa yang berlaku nanti, Alia hanya mampu berserah.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan