Ahad, 12 Februari 2012

BAB 21 : Suratan Atau Kebetulan?

Alia dan Sofia kini berjalan beriringan dengan senyuman tidak luput dari wajah. Rasa gembira terpancar pada raut wajah mereka berdua yang mengenakan mekap ala kadar sahaja. Namun cukup menyerlahkan kejelitaan mereka berdua.

Masing-masing turut mendukung sebungkus hadiah di tangan mereka. Bersaiz agak besar dan kelihatan berat. Setelah menaiki beberapa buah anak tangga yang terdapat di dalam sebuah rumah yang umpama mahligai mini itu, kini Alia dan Sofia berada tepat di hadapan pintu bilik yang tertutup rapat.

Keadaan rumah itu agak riuh, meriah dengan pelbagai macam jenis bunyi-bunyian. Semuanya bergabung menjadi satu, setiap bunyi itu umpama bertarung dan ingin mendapat tempat pertama dalam pertandingan bunyi-bunyian.

Dengan perlahan Alia menguak pintu bilik tersebut. Buat kesekian kalinya keriuhan dalam rumah itu semakin berganda bilangannya. Suara Alia dan Sofia menambahkan lagi kegamatan yang sedia ada. Kedua-duanya begitu kagum, terpukau , teruja dengan kecantikan dan kejelitaan sahabat mereka Nadia yang lengkap mengenakan pakaian pengantin berwarna coklat keemasan.

Ditambah lagi dengan mekap yang begitu kena dengan wajah Nadia, sekata dengan warna baju pengantin yang menghiasi tubuh Nadia yang begitu langsing. Mereka berdua pada mulanya seolah-olah tidak mengenali Nadia. Wajah Nadia dengan mekap itu memang jauh berbeza dengan kebiasaan wajahnya tanpa mekap.

"Aku ingatkan Aishwarya Rai mana yang terlepas kat sini tadi! Cantik betul kau Nadia! Teringin pulak rasanya nak kahwin bila tengok kau cantik macam ni" puji Sofia dengan ikhlas sambil berseloroh.

"Kahwinlah, nak tunggu apa lagi? Nak tunggu anak raja masuk meminang?" balas Nadia geram dengan Sofia yang langsung seperti belum mahu memikirkan soal mencari pasangan hidup. Terlalu sibuk dan menumpukan perhatian pada kerjayanya sahaja. Alia hanya tersengih melihat tingkah kedua sahabatnya itu.

"Kalau anak raja nak kat aku, apa salahnya kan?" ujar Sofia pula membuatkan Nadia bertambah geram lantas menghempas lembut paha Sofia yang duduk di tepinya.

"Kak long, rombongan pengantin lelaki dah sampai!" adik Nadia memaklumkan. Jantung Nadia berdegup pantas. Gementar! Alia dan Sofia tersenyum lebar.

***

Sejak tadi keduanya hanya berbalas pandangan. Serba salah sama ada hendak menghulurkan senyuman atau pun tidak. Sama ada hendak menyapa atau pun tidak. Perhatian Alia kini lebih ditumpukan pada sahabatnya yang cukup kelihatan serasi duduk di atas pelamin yang tersergam indah. Tidak lagi dapat dinafikan bahawa Nadia dan Asri memang pasangan yang cukup sepadan. Sama cantik sama tampan!

"Al, kau kenal ke lelaki yang datang dengan rombongan Asri tu? Aku perasan dari tadi dia asyik pandang kau je.... ada yang berkenan nampak gayanya" soal Sofia separuh berbisik. Penuh tanda tanya sambil menyelitkan usikan buat Alia. Turut melirik pada lelaki yang dimaksudkan, sedang berdiri tidak jauh dari mereka. Namun pandangan mereka agak terbatas kerana keadaan ruang tamu itu dipenuhi dengan ramai orang yang terdiri dari keluarga terdekat dari kedua belah pihak pengantin.

"Ish jangan nak buat lawak. Dia tu anak kawan baik ayah" jelas Alia. Tidak mahu agar Sofia salah faham.

"Kenapa tak pergi tegur?" usul Sofia.

"Malaslah" balas Alia seolah-olah tidak berminat. Namun debaran di dada melemaskan Alia.

"Handsome jugak kan" komen Sofia sambil tersenyum. Melirik Alia penuh makna. Seperti dapat membaca ada sesuatu yang tersirat dalam nada bersahaja Alia.

"Biasa je aku tengok. Kenapa? Kau berkenan ke?" soal Alia pula cuba mengusik Sofia.

"Tak naklah, dia memang handsome tapi aku rasa dia tak sesuai dengan aku. Dengan kau nampak macam secocok pulak! Sumpah aku tak tipu!" jawapan dari Sofia itu mengundang kerutan di dahi Alia. Lantas menyucuk perut Sofia. Hampir terjerit Sofia dibuatnya tapi berjaya dikawal. Jika tidak, pasti Sofia akan menjadi tumpuan utama mereka yang berada di ruang tamu tersebut. Alia tertawa melihat renungan tajam Sofia.

Pun begitu, fikiran Alia ligat memikirkan kebetulan yang berlaku pada waktu itu. Semenjak pertemuan pertamanya dengan Ilham, takdir seolah-olah mempertemukan mereka pada waktu yang langsung tidak diduga. Adakah semua pertemuan itu hanya kebetulan sahaja atau.....

Alia tidak berani untuk berfikir lebih daripada itu. Ah, sudahlah. Dunia ni kecik, boleh jumpa siapa saja dimana-mana. Bisik hati Alia

Selasa, 24 Januari 2012

BAB 20 : Huh, Umrah?

Ilham memandu kereta dengan berhati-hati. Hujan lebat malam itu membuatkan jalanraya agak licin. Fikirannya melayang. Cerita kedua ibubapanya tidak dihiraukan. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Dia teringat lagi perbualan mereka ketika berada di rumah Alia.

***

"Huh, Umrah?" lancar Ilham menyebut. Dan apabila dirinya menjadi perhatian keseluruhan isi ruang tamu, Ilham tertunduk. Terdiam. Membisu.
"Mengapa, Ilham?" tanya Haji Yussof. Dia hairan melihat raut wajah anak muda itu. Terkejut. Hairan. Malu. Bercampur semuanya.
"Ah, tidak. Tidak apa-apa Uncle," jawab Ilham. Perbualan bersambung lagi. Ilham kini mendiamkan diri sambil mendengar perbualan orang tua mereka. Hatinya tiba-tiba berdegup kencang. Matanya sesekali mencuri pandang ke arah Alya yang kini sudah duduk di hadapannya. Alia tidak sempat menyaksikan apa yang telah berlaku sebentar tadi kerana dia masih sibuk berbual di telefon. Alya juga hanya duduk mendiamkan diri. Sesekali dia memandang ibu jari kakinya yang masih kemerah-merahan akibat terhantuk pintu tadi.

Setelah lebih kurang satu jam, Ilham dan keluarga meminta diri untuk pulang. Bunyi hujan lebat diikuti dengan bunyi jam dinding menunjukkan pukul 11 malam membuatkan mereka berangkat pulang dengan segera. Tanpa disedari, waktu berlalu begitu pantas. Dan tidak disedari juga, sudah jauh malam rupanya.
***

Setibanya di rumah, Ilham terus masuk ke bilik dan berbaring. Otaknya masih memikirkan wajah Alia. Perkataan 'umrah' bermain-main di mindanya. Dia percaya bahawa Alya lah gadis yang pernah di tolongnya suatu ketika dahulu sewaktu mereka berada di Mekah. Ilham mula mengingati kembali saat-saat dia mengerjakan ibadah Umrah pada tahun lepas.

Selasa, 13 Disember 2011

BAB 19 : Golak hati Ilham

'Ilham! Ilham! Jangan melulu membuat andaian. Seperti kata Alya, pasti bibik itu yang salah dengar. Mungkin bukan Nazrul yang berada di hujung gagang," bergolak hati lelaki itu berbicara sendirian sedangkan sebentar tadi dia sama-sama menyatu dalam perbualan orang tuanya dan juga orang tua Alya.

Dari perbualan itu, Ilham baru mengetahui bahawa Nazrul pernah bertakhta di hati Alya namun akhirnya perhubungan mereka kecundang di ambang kecurangan Nazrul.

Dan dari perbualan itu juga, dia difahamkan sejak kejadian itu, Alya sentiasa menyendiri. Wataknya yang dahulunya ceria berubah menjadi pendiam dan serius.

Berbulan lamanya Haji Yusof dan isteri mencuba untuk memulihkan Alya sehingga akhirnya mereka sekeluarga bertindak mengerjakan Umrah dan bertitik tolak dari saat itu, Alya kembali seperti biasa.

"Huh, Umrah?" lantang suara Ilham memecah rentak bualan umi Alya.

Empat pasang mata yang tadinya bertentangan antara satu sama yang lain kini terfokus tajam memandang Ilham.

BAB 18 : Mungkin.......

Belum sempat Haji Yusof menyambung kata, pembantu rumah mereka kini muncul di ruang tamu mencari kelibat Alia.

"Maaf neng, ada panggilan telfon buat neng" Yanti, pembantu rumah memaklumkan pada Alia tentang panggilan telefon yang baru saja diterimanya sebentar tadi. Perbualan mereka yang berada di ruang tamu itu turut tergendala buat seketika. Perhatian kini ditumpukan pada Alia yang mula mengerutkan dahi. Siapa pula yang telefon aku malam-malam macam ni. Desis hati Alia.

"Dari siapa?" soal Alia, masih dalam keadaan duduknya yang kelihatan begitu selesa. Belum bercadang mahu berganjak berdiri dari sofa yang begitu empuk. Tanpa disedari, ada sepasang mata sedang mencuri raut wajahnya.

"Nggak dikasi tau namanya neng, tapi dari suaranya kayaknya mirip suara bapak Nazrul deyh. Apa mau dimatiin aja panggilannya neng?" jelas Yanti membuat andaian. Menarik perhatian semua mereka yang berada di ruang tamu tersebut. Lebih-lebih lagi Ilham yang mula memikirkan pelbagai macam kemungkinan. Siapa Nazrul? boyfriend dia ke? tunang mungkin? Ilham tiba-tiba jadi gelisah tidak menentu tapi masih cuba berlagak tenang.

"Nggak usah, kamu pasti salah dengar suaranya" balas Alia menyangkal andaian pembantu rumahnya. Mustahil lelaki tu yang telefon

"Ehm, Al mintak diri sekejap" sambil menghulurkan senyuman, Alia meminta izin pada mereka untuk mengundurkan diri buat seketika.

Selasa, 6 Disember 2011

BAB 17 : Wajah Itu...

Ilham hanya memerhatikan reaksi dari Alia. Entah mengapa hatinya begitu terhibur tatkala melihat Alia berwajah muncung. Ingin saja lagi rasa hatinya mengusik gadis yang mudah melenting itu. Terbayang lagi di mindanya saat mereka terjumpa di Coffee Bean tempoh hari. Memang Alia garang pada waktu itu. Marah-marah. Namun Ilham bagaikan dapat menangkap isi hati Alia apabila merenung anak mata gadis yang berwarna coklat tua itu. Entah mengapa Ilham bagaikan tertarik untuk mengenali gadis itu dengan lebih dalam lagi. Dia tidak pernah tertarik dengan mana-mana perempuan dengan begitu cepat tetapi kali ini hatinya bagaikan meronta-ronta.

Tanpa disedari, Ilham memerhatikan Alia menyuapkan makanan ke dalam mulut comelnya itu perlahan-lahan. Soalannya tadi membuatkan Alia tunduk diam tanpa sebarang suara. Gadis itu bagaikan malas melayan kerenah Ilham yang tiba-tiba saja menjengkelkan baginya. Ilham memerhatikan lagi wajah perempuan di hadapannya. Hatinya terasa sejuk dan tenang. Ilham sendiri tidak pasti sebab dia berperasaan begitu.

"Ish, apa yang awak tengok-tengok tu?" Alia menegur Ilham separuh berbisik dengan harapan orang tua mereka tidak menyedari akan hal itu. Dia berasa rimas dengan renungan lelaki yang berada di hadapannya. Ilham yang terkejut melihat mata garang Alia lantas tersengih. Terasa malu bila ditegur begitu. 'Hah, itulah kau. Suka hati je tengok dia. Kan sekarang dia dah marah,' bisik hati Ilham.

Makan malam diteruskan tanpa sebarang suara dari Alia mahu pun Ilham. Hanya perbualan rancak dari orang tua mereka yang sesekali di selang selikan dengan tawa. Mereka berdua hanya fokus kepada menghabiskan makanan masing-masing. Selesai saja para tetamu habis makan, Alia membantu Uminya untuk mengemaskan meja makan manakala Ilham dan kedua orang tuanya di persilakan untuk ke ruang tamu bagi menikmati pencuci mulut.

"Al, lepas ni kita ke bilik tamu ya? Temankan ibu si Ilham. Biarlah Bibik yang cuci pinggan ni," Umi memberitahu Alia sebaik sahaja mereka berada di dapur. Umi memanggil pembantu rumah mereka lalu membawa Alia ke ruang tamu. Alia hanya patuh pada arahan Umi tanpa memikirkan sangat hal yang terjadi di antara dia dan Ilham awal tadi.

Di ruang tamu, Alia hanya duduk diam sambil mendengar perbualan orang tua mereka. Sesekali Ilham turut menyampuk dengan perbualan mengenai perniagaan yang diwarisinya. Alia yang kebosanan mencuri pandang wajah Ilham. Lelaki itu duduk di hadapannya kini. Diperhatikannya dalam diam wajah lelaki muda itu. Matanya, hidungnya, senyumannya, giginya, suaranya. 'Hm, kacak jugak dia ni,' bisik hati nakal Alia. Dia terus memerhatikan Ilham yang kini sedang rancak bercerita bersama ayahnya. Ilham tersenyum. Tiba-tiba hati Alia bergetar. Dia teringat pula kisah sewaktu dia mengerjakan ibadat umrah di Mekah bersama rakan-rakan universitinya pada tahun lepas. 'Eh? Aku macam pernah jumpa dia sebelum ni? Tak mungkin... Tak mungkin dia..' bisik hatinya.

"Kan Alia?" suara ayahnya menyedarkan Alia dari lamunan.
"Apa ayah?" Alia cuba menyembunyikan tingkah lakunya yang tidak tentu arah. Semua mata tertumpu padanya ketika ini.